Skip to main
Logo Malaysiakini

Hassan rayu PM campur tangan elak mogok doktor kontrak

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim merayu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk campur tangan segera bagi mengelak mogok doktor kontrak yang didesas-desuskan akan berlaku dalam tempoh tiga hari akan datang, bermula esok.

Ahli parlimen PKR itu berkata walaupun mogok adalah hak asasi pekerja, Anwar boleh menenangkan doktor kontrak yang marah kepada kerajaan.

"Campur tangan perdana menteri dengan jaminan segera menyelesaikan masalah mereka mungkin dapat mengelakkan mogok dilancarkan esok yang dibimbangkan akan melumpuhkan operasi di hospital.

"Perdana menteri perlu mendengar protes mereka bahawa wujud amalan diskriminasi dan penindasan ke atas doktor-doktor kontrak," katanya.

Tambahnya, perdana menteri juga perlu memastikan Kementerian Kesihatan tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan mogok.

Kumpulan yang digelar Mogok Doktor Malaysia menyeru doktor kontrak untuk melancarkan mogok dari Isnin hingga Rabu dengan mengambil cuti perubatan, cuti kecemasan, atau meletak jawatan secara beramai-ramai.

Tuntutan kumpulan itu termasuk semua doktor kontrak diberi jawatan tetap, kenaikan gaji pokok dan kadar 'on -call', dan penyelesaian kepada kekurangan kakitangan.

Kumpulan itu mendakwa lebih 8,000 doktor akan mengambil bahagian dalam mogok itu.

Anwar sebelum ini berkata bahawa menyelesaikan masalah doktor kontrak mungkin mengambil masa tiga tahun, sambil memberi jaminan bahawa 1,500 doktor kontrak akan mendapat pekerjaan tetap tahun ini.

“Jika kita berikan kesemua 4,000 (penempatan tetap) seperti yang dituntut, kita memerlukan lebih RM10 bilion setahun. Jadi ini mustahil,” kata Anwar.

Sebuah jawatankuasa peringkat tinggi yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi juga telah meminta diberi peluang untuk menyelesaikan masalah doktor kontrak.