'Mogok atau tidak, jangan abai tuntutan doktor kontrak'
Walaupun identiti penganjur di sebalik mogok doktor kontrak - yang hanya digelar Mogok Doktor Malaysia - kekal misteri, Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii berpendapat bahawa tuntutan substantif yang dikemukakan oleh kumpulan berkenaan tidak boleh diabaikan.
Ini berlaku selepas kumpulan kesihatan utama seperti Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Hartal Doktor Kontrak menjauhkan diri daripada dikaitkan dengan mogok tiga hari itu yang sepatutnya bermula hari ini.
“Sama ada saya bersetuju atau berpendapat setiap permintaan (yang dibuat oleh Mogok Doktor Malaysia) boleh dilaksanakan atau tidak, saya rasa intipati tuntutan mereka adalah munasabah dan ia adalah sesuatu yang kita sebelum ini juga gesa.
“Ini telah menjadi isu jangka panjang yang kronik dan ia memerlukan pembaharuan sistemik. Ia adalah sesuatu yang saya sendiri usahakan sebelum ini.
"Saya rasa Kementerian Kesihatan lebih sedar dan mereka sedang berusaha keras untuk menanganinya," kata Yii kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Mogok Doktor Malaysia menyeru doktor kontrak untuk melancarkan mogok dengan mengambil cuti perubatan, cuti kecemasan, atau meletak jawatan secara beramai-ramai.
Tuntutan kumpulan itu termasuk semua doktor kontrak diberi jawatan tetap, kenaikan gaji pokok dan kadar 'on-call', dan penyelesaian kepada kekurangan kakitangan.
Sementara itu, Yii mendedahkan bahawa dia telah membuat percubaan untuk menghubungi Mogok Doktor Malaysia tetapi tidak berjaya.
Kumpulan itu mendakwa lebih 8,000 doktor akan mengambil bahagian dalam mogok itu.
“Saya menerima berita bahawa tiada demonstrasi atau perhimpunan (daripada kumpulan itu) setakat ini.
“Namun, saya menghormati hak untuk tindakan industri tetapi yang lebih penting, adalah libat urus susulan.
"Sehingga kini, saya tidak fikir Kementerian Kesihatan telah berjaya mengatur pertemuan dengan kumpulan itu untuk memastikan suara mereka didengari," katanya.
Dia juga memberi jaminan akan terus mendesak Kementerian Kesihatan supaya tidak mengambil tindakan tatatertib terhadap doktor yang mengambil bahagian dalam mogok itu.
Walaupun terdapat ancaman mogok di kalangan doktor kontrak, semakan di lapangan oleh Malaysiakini hari ini mendapati hospital kerajaan kelihatan beroperasi seperti biasa.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan telah mengingatkan penjawat awam mereka dilarang menyertai "perhimpunan haram".
Perhimpunan yang dianggap haram termasuk "penglibatan aktif" di luar waktu bekerja, menggunakan waktu pejabat, dan meninggalkan pejabat untuk memerhati dan menyertai perhimpunan, serta menggunakan peralatan pejabat untuk mencetak dan mengedarkan risalah yang berkaitan dengan perhimpunan haram.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga berkata bahawa menyelesaikan masalah doktor kontrak mungkin mengambil masa tiga tahun, sambil memberi jaminan bahawa 1,500 akan mendapat pekerjaan tetap tahun ini.
“Jika kita berikan kesemua 4,000 (penempatan tetap) seperti yang dituntut, kita memerlukan lebih RM10 bilion setahun. Jadi ini mustahil,” kata Anwar.
Sebuah jawatankuasa peringkat tinggi yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi juga telah meminta peluang untuk menyelesaikan masalah doktor kontrak.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai