Pengimport telur tuntut RM20 juta dari Azmin
Pengimport telur J&E Advance Tech Sdn Bhd telah menghantar surat undang-undang kepada bekas ahli parlimen Gombak, Azmin Ali selepas dia mendakwa ahli perniagaan Deepak Jaikishan memperoleh kontrak untuk mengimport telur itu melalui rundingan terus.
Dalam surat yang dihantar melalui firma guaman Han & Zi, syarikat itu menuntut Azmin membayar RM20 juta sebagai ganti rugi kerana didakwa menjejaskan reputasinya, selain kos perundangan untuk prosiding.
Ia juga menuntut Azmin menarik balik dan memohon maaf secara terbuka atas dakwaannya, dan berjanji tidak akan mengulanginya.
"Sekiranya kami tidak menerima jawapan yang memuaskan dalam tempoh tujuh hari dari penerimaan surat ini, arahan kami adalah untuk memulakan prosiding undang-undang terhadap anda," kata surat itu.
Syarikat itu menyasarkan ucapan Azmin di Kuala Lumpur pada 11 Mac, terutamanya sebahagian daripada ucapan di mana Azmin mendakwa Deepak telah memperoleh kontrak untuk mengimport telur melalui rundingan terus.
Kerajaan telah meluluskan import telur dari India sehingga Jun untuk menangani kekurangan teruk telur ayam di pasaran tempatan.
Dua hari selepas Azmin berucap, pengimport tunggal telur itu - J&E Advance Tech - menafikan ia memperoleh kontrak melalui rundingan terus dan mengancam untuk menyaman jika Azmin tidak membuat "kenyataan pembetulan" dalam masa 72 jam.
Dalam surat tuntutannya hari ini, peguam syarikat itu berkata dakwaan Azmin dalam ucapannya adalah tidak benar sama sekali dan secara berniat jahat memutarbelitkan fakta, memberikan gambaran bahawa kerajaan korup dan tidak amanah serta anak guamnya tidak berprinsip dan menipu.
Sebelum ini, syarikat itu juga mengancam untuk menyaman Ahli Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong selepas Wee menyorot isu mengenai harga dan kualiti telur import, berbanding telur tempatan biasa.
Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata Wee tidak boleh disaman kerana kenyataannya dibuat semasa prosiding parlimen dan dengan itu dilindungi di bawah Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.
Deepak, sebelum ini menafikan kaitan dengan J&E. Semakan ke atas maklumat syarikat J&E dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati Deepak tidak disenaraikan sebagai pemegang saham atau pengarah dalam syarikat itu.
Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, Deepak berkata dia telah membuat laporan polis terhadap Azmin berhubung perkara itu dengan mendakwa Azmin telah memfitnahnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai