Skip to main
Logo Malaysiakini

Lawat limbungan kapal LCS agenda pertama kepimpinan baru PAC

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Antara tindakan awal Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di bawah kepimpinan baru adalah melawat Limbungan Kapal Boustead Heavy Industries Corp (BHIC) di Lumut, Perak bagi melihat perkembangan terkini pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) yang mengundang kontroversi sebelum ini.

Perkara itu dinyatakan pengerusi baru PAC Mas Ermieyati Samsuddin dan naib pengerusinya Wong Shu Qi dalam kenyataan bersama hari ini

"Saya dan YB Wong bersetuju mengadakan lawatan kerja ke Limbungan BHIC di Lumut, Perak bagi mengetahui perkembangan terkini LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sepatutnya dilaporkan setiap tiga bulan kepada PAC sebagai tugas pertama PAC Parlimen ke-15," kata mereka.

Projek yang memakan belanja berbilion ringgit itu menjadi perhatian tahun lalu apabila PAC mendedahkan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) membina enam kapal LCS berdasarkan rekaan yang bukan diminta TLDM.

Syarikat itu juga sepatutnya menghantar lima kapal LCS kepada TLDM pada Julai tahun lalu namun setakat ini belum satu pun yang disiapkan. Penghantaran pertama dijadualkan pada April 2019 namun PAC memaklumkan kapal itu hanya 44 peratus siap.

Pada 14 Mac lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan siasatan berhubung skandal tersebut perlu diteruskan, antaranya kerana pendakwaan peringkat awal belum melibatkan orang yang lebih utama yang dikatakan terlibat.

Wong Shu Qi dan Mas Ermieyati

Sementara itu, Mas Ermieyati dan Wong juga berkata mereka akan memohon pindaan dibuat pada Peraturan Mesyuarat 85 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat agar prosiding PAC boleh dijalankan secara terbuka.

"Kami percaya bahawa prosiding PAC wajar dilakukan secara terbuka bagi memastikan semua prosiding dijalankan secara telus, berakauntabiliti dan berkredibiliti seiring

dengan agenda reformasi institusi yang menjadi fokus utama kerajaan pada masa kini," kata mereka.

Dewan Rakyat hari ini bersetuju dengan pelantikan Mas Ermiyati (PN-Masjid Tanah) sebagai pengerusi PAC yang baru dan Wong (PH-Kluang) sebagai naib pengerusi.

Pencalonan mereka diterima sebulat suara oleh ahli parlimen selepas dicadangkan perdana menteri.

Mas Ermieyati menggantikan Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh yang menyandang jawatan itu dalam pentadbiran sebelum ini. Dia juga menjadi wanita kedua dilantik memegang jawatan itu selepas Ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad daripada BN pada April 2019.

Sementara itu, mereka berkata pertemuan juga akan diadakan dengan semua Ex-Officio PAC iaitu Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Ekonomi, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Audit Negara, Jabatan Akauntan Negara dan SPRM bagi membincangkan mengenai hala tuju dan hal-hal berkaitan PAC.

Mereka juga menyuarakan harapan agar jawatankuasa pemilihan segera melantik ahli-ahli PAC daripada ahli parlimen kerajaan dan dan juga pembangkang.

"Kami percaya bahawa ketelusan dan akauntabiliti adalah penting untuk membina kepercayaan orang ramai dan memastikan kerajaan pada masa kini memenuhi keperluan rakyatnya.

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan ahli-ahli PAC yang bakal dipilih dalam melaksanakan tanggungjawab dan mandat yang diberikan," kata mereka lagi.