Skip to main
Logo Malaysiakini

24 tahun PKR: Anwar ingatkan kuasa adalah amanah, bukan keistimewaan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sempena ulang tahun ke-24 PKR, presidennya, Anwar Ibrahim mengingatkan ahli parti itu bahawa kuasa yang diamanahkan perlu dilaksanakan sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat.

"PKR berpasak atas semangat islah yang kuat. Selalu saya ingatkan kepada semua bahawa kuasa adalah amanah dan bukan keistimewaan.

"Justeru, hak dan kebajikan rakyat mesti yang terutama dalam membentuk kebijakan.

"Tugas dan tanggungjawab yang digalas hari ini adalah amanah yang mesti kita pikul sebaiknya dengan matlamat membawa perubahan yang bermakna.

"Selamat ulang tahun PKR yang ke-24 kepada seluruh anggota dan pimpinan PKR," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

Parti Keadilan Nasional (PKN) ditubuhkan pada 4 April 1999 oleh keluarga dan penyokong Anwar berikutan penahanannya sementara menunggu selesai perbicaraan atas dakwaan salah guna kuasa dan liwat.

Pada September 1998, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad memecat Anwar sebagai timbalannya, mencetuskan gerakan reformasi yang akhirnya disokong oleh parti pembangkang.

Kemuncaknya menjadi gabungan Pakatan Harapan (PH) yang wujud hari ini yang menerajui kerajaan perpaduan di Putrajaya.

Pada tahun 2003, PKN bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia untuk membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil, dalam perutusannya sempena ulang tahun ke-24 PKR mengingatkan ahli parti itu tentang perjuangan mereka untuk semua lapisan masyarakat.

"Parti yang sentiasa memperjuangkan nasib semua lapisan rakyat tidak mengira agama, bangsa mahupun jantina.

"Semoga PKR terus maju dan kukuh demi Malaysia Madani," kata menteri komunikasi dan digital itu lagi.