Skip to main
Logo Malaysiakini

MB: 'Tanah Kesultanan' bukan milik peribadi sultan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Tanah yang diwartakan sebagai "tanah kesultanan" bukan menjadi hak milik peribadi Sultan Johor, kata Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi.

Sebaliknya, kata Onn Hafiz, tanah itu akan dilindungi oleh Sultan Johor supaya tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan atau menyalahgunakan tanah rizab tersebut.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku adalah custodian kepada tanah rizab ini bagi terus menjaga hak dan kepentingan Orang Asli di Negeri Johor.

Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar

“Orang Asli Johor boleh menggunakan dan menikmati hasil hutan seperti yang termaktub dalam Akta Orang Asli 1954,” katanya dalam satu kenyataan.

Onn Hafiz berkata demikian sebagai menjawab pelbagai aduan mengenai rancangan kerajaan negeri untuk menjadikan tanah rizab Orang Asli di Johor sebagai "tanah kesultanan".

Pada 16 Mac lalu, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mencadangkan tanah-tanah Orang Asli di negeri ini dijadikan Tanah Kesultanan bagi mengelak ia disalahgunakan.

Sultan Johor bertitah langkah-langkah perlu diambil bagi mengelakkan Orang Asli diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Baginda bertitah ada dalam kalangan Orang Asli dieksploitasi bagi menceroboh tanah demi kegiatan haram seperti tanaman kelapa sawit, getah dan memotong kayu-kayan yang bernilai serta memburu binatang liar.

Rizab Orang Asli dilindungi di bawah Akta Orang Asli 1954 yang menyatakan bahawa tanah tersebut tidak boleh diberi milik atau dilupuskan kecuali kepada Orang Asli yang tinggal di tanah tersebut.

Kerajaan negeri, bagaimanapun, boleh membatalkan status tanah tersebut.

Sementara itu, di bawah Seksyen 2 Enakmen Tanah Kesultanan Johor, tanah yang diklasifikasikan sebagai tanah kesultanan adalah milik sultan dan tidak dianggap sebagai hak milik negeri.

Enakmen itu juga memperuntukkan bahawa tiada bahagian tanah kesultanan boleh dijual, dipajak, atau dilupuskan kecuali dengan kebenaran bertulis baginda sultan.

Menurut Onn Hafiz, status dan penempatan Orang Asli di Johor telah dibela dan dilindungi sejak zaman Sultan Abu Bakar dan sebelum kewujudan Akta Orang Asli 1954.

“Kerajaan negeri berharap tidak ada mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan dan mengelirukan Orang Asli lagi. Janganlah menangguk di air yang keruh dan memutarbelitkan hasrat murni kerajaan negeri ini.

“Jka ada mana-mana pihak memerlukan penjelasan dan maklumat yang lebih terperinci boleh berhubung dengan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Johor,” katanya.

Dolah Tekoi

Pada 2 April lalu, Pengerusi Jaringan Perkampung Orang Asli Johor (JPOAJ) Dolah Tekoi membantah rancangan kerajaan negeri, dengan alasan bahawa tanah rizab Orang Asli sudah pun dilindungi di bawah Akta Orang Asli 1954 dan Kanun Tanah Negara - undang-undang yang terpakai di seluruh negara.

Hujah Dolah, bahawa adalah tidak benar semua Orang Asli yang menggunakan tanah rizab mereka untuk ladang dieksploitasi oleh orang luar.

Katanya, sebilangan Orang Asli menggunakan rizab berkenaan untuk ladang demi menyara diri.