Skip to main
Logo Malaysiakini

Tolak perpaduan, pecahkan lagi orang Melayu - sindir Dr M

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad secara sinis mendakwa ada pihak sengaja tidak mahu orang Melayu bersatu demi kelangsungan politik mereka.

Jelas, Mahathir usaha untuk menyatukan orang Melayu tidak akan berjaya dan pasti akan ditolak sebarang usaha ke arah perpaduan.

"Rupa-rupanya ada orang Melayu yang berpendapat Melayu tak mungkin bersatu. Oleh itu tak usahlah cuba menyatu orang Melayu. Ia tak akan berjaya.

"Mereka yang berpendapat seperti ini tentu akan tolak sebarang usaha untuk menyatupadukan orang Melayu. Kalau orang Melayu tolak perpaduan apa yang akan mereka lakukan.

"Mereka akan sokong perpecahan yang sedang berlaku di kalangan orang Melayu," katanya pada satu hantaran di Facebook hari ini.

Bagaimanapun, bekas ahli parlimen Langkawi itu tidak menamakan pihak yang dimaksudkannya tetapi memberi peringatan mengenai akibat rasuah terhadap sokongan undi dalam pilihan raya.

"Mereka akan sokong orang yang utamakan kepentingan diri, orang yang berjuang untuk dapat duit dan jawatan melalui politik, orang yang undi kerana sogokan.

"Jangan pedulikan siapa yang sogok asalkan disogok. Yang menyogok tentulah orang yang berduit, walaupun duit itu dicuri.

"Dan mereka akan menang dan kerajaan akan didiri oleh mereka," katanya lagi.

Kerajaan yang didirikan oleh pencuri dan perasuah, kata Dr Mahathir akan mencuri duit kerajaan serta akan membuat pinjaman berbillion untuk dicuri mereka.

Mahathir juga mendakwa ada orang Melayu merelakan perpecahan berlaku asalkan mereka mendapatkan "duit buta" dengan mudah.

"Bodohlah jika tak terima duit buta. Tak payah kerja dapat duit. Undi sahaja. Lagi berpecah orang Melayu, lagi ramai yang akan curi duit untuk sogok, lebih banyaklah duit buta yang akan didapati oleh orang Melayu.

"Oleh itu tolaklah perpaduan. Perbanyaklah parti Melayu, jangan berhenti, pecah lagi, akan bahagialah anak cucu Melayu sebagai pengemis 'duit buta'," dakwanya lagi.

Pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Mahathir mengalami kekalahan teruk di kerusi parlimen Langkawi. Dia hanya menduduki tempat keempat dalam pertembungan lima penjuru.

Pada 16 Dis tahun lalu, ahli politik berusia 98 tahun itu meletakkan jawatan sebagai pengerusi Pejuang.

Pejuang kemudian menamatkan kerjasamanya dengan Gerakan Tanah Air (GTA) pada 14 Jan. Gabungan parti-parti Melayu itu ditubuhkan oleh Mahathir pada Ogos tahun lalu.

Berikutan itu, berlaku perpecahan dalam Pejuang apabila Mahathir - yang merupakan pengerusinya - tidak dapat bertentang mata dengan anaknya Mukhriz, presiden parti berkenaan.

Mahathir kemudian meninggalkan Pejuang dan menyertai Putra.

Pada 19 Mac, dia mengecam Anwar Ibrahim sebagai pemimpin zalim selepas rancangannya untuk mengadakan perhimpunan pro-Melayu gagal menjadi kenyataan.

Mahathir mendakwa kerajaan pimpinan Anwar menjadi dalang disebalik pembatalan pengajuran program itu.

Dalam pada itu, usaha Pejuang untuk mendapatkan keselamatan politik yang lebih terjamin dengan menyertai Perikatan Nasional (PN) gagal.

Majlis Tertinggi PN pada 21 Mac lalu memutuskan untuk menolak permohonan Pejuang untuk menyertai gabungan itu.