Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua beradik rugi RM658,000 ditipu 'phone scam'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Dua beradik kerugian RM658,000 selepas diperdaya sindiket 'Phone Scam' yang menyamar sebagai pegawai insurans dan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din berkata mangsa pertama ialah seorang wanita berusia 56 tahun yang bertugas sebagai guru manakala kakaknya, 62, seorang pesara swasta.

Beliau berkata kejadian bermula pada 28 Feb lepas selepas masing-masing menerima panggilan telefon daripada pihak sindiket yang mendakwa maklumat diri mereka telah disalah guna untuk aktiviti pengubahan wang haram dan dadah.

Menurut Abdul Rahim suspek kemudian menawarkan pertolongan kepada mangsa dengan mengarahkan supaya masing-masing membuka satu akaun bank lain untuk memudahkan urusan pindahan wang.

"Dengan menggunakan alasan untuk membantu, suspek meminta mangsa masing-masing membuka akaun bank lain dan memberikan maklumat tersebut kepada pihak sindiket.

"Mangsa yang ketakutan dan bimbang berdepan tindakan undang-undang hanya menurut arahan tersebut tanpa berfikir panjang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Rahim berkata sindiket tersebut kemudian mengarahkan kedua-duanya memindahkan wang simpanan mereka ke dalam akaun baharu dan mereka dilarang daripada menggunakan akaun berkenaan sehingga kes pengubahan wang haram dan dadah itu diselesaikan.

Mangsa hanya menyedari ditipu selepas membaca satu artikel berkaitan 'Phone Scam' dalam sebuah akhbar dan terus membuat semakan ke atas akaun baharu berkenaan.

"Seorang daripada mangsa mendapati wang hasil simpanan dalam akaun tersebut telah berkurang sebanyak RM500,000 manakala seorang lagi sebanyak RM158,000. Mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu semalam,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan orang ramai diminta supaya lebih berwaspada dengan taktik penipuan jenayah yang sangat licik pada masa ini.

- Bernama