Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemandu lori mentega maut bertembung lori balak

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seorang lelaki maut selepas lori dengan muatan mentega yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori balak dalam kejadian di Jalan Gua Musang- Jeli, Gua Gusang, hari ini.

Mangsa Abdul Yasak Mat, 40, disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian, manakala pemandu lori balak N Subramanian, 51, cedera pada bahagian kaki.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo berkata dalam kejadian jam 12 tengah hari itu kedua-dua kenderaan berat itu dalam perjalanan dari arah Gua Musang menghala ke Jeli.

“Sampai di lokasi kejadian di mana keadaan jalan sedikit berselekoh dan dipercayai pemandu lori muatan mentega memasuki laluan lori balak yang datang dari arah bertentangan menyebabkan kedua-dua kenderaan itu bertembung.

“Akibat pertembungan itu, pemandu lori mentega disahkan maut ditempat kejadian, manakala pemandu lori muatan balak mengalami kecederaan di kaki akibat tersepit dan dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Tambah Chong Foo, kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

“Siasatan lanjut masih dijalankan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian bolehlah menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang di talian 099121222 atau pegawai penyiasat di talian 017-2830392,” katanya.