Skip to main
Logo Malaysiakini

BRN mahu rundingan damai diteruskan lepas PRU Thailand

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Barisan Revolusi Nasional (BRN) tidak hadir pada mesyuarat teknikal Pelan Komprehensif Kerjasama ke arah Pendamaian (JCPP) di Kuala Lumpur dari 14-17 Mac kerana Thailand bakal menyaksikan pilihan raya umum.

“BRN tidak mahu perbincangan yang diadakan (sekarang) diulang semula sekiranya berlaku pertukaran kerajaan selepas pilihan raya nanti,” kata sumber BRN kepada Bernama ketika dihubungi pada Rabu.

BRN mahu rundingan damai dan mesyuarat teknikal dengan kerajaan Thailand diteruskan selepas PIlihan Raya Umum Thailand pada 14 Mei ini.

Ketidakhadiran BRN dalam mesyuarat di Kuala Lumpur itu menimbulkan pelbagai persoalan akan kemajuan proses perdamaian itu.

Proses rundingan damai antara pihak kerajaan Thailand dengan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, BRN bertujuan untuk mencari penyelesaian bagi menamatkan konflik.

Malaysia adalah fasilitator bagi proses rundingan damai dalam menamatkan konflik di wilayah selatan iaitu di Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla. Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai itu ialah bekas panglima angkatan tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Proses Dialog Damai Selatan Thailand di antara Kerajaan Thailand dengan kumpulan pejuang kini memasuki tahun ke-10.

Pada 22 Februari, PEDP dan BRN telah sepakat membentuk JCPP sebagai pelan hala tuju untuk 2023-2024 dalam mencari penyelesaian bagi menamatkan konflik bersenjata di selatan Thailand.

- Bernama