Wan Saiful: PH-Umno cuba bunuh karakter Noorazlan
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan mendakwa Pakatan Harapan dan Umno cuba “membunuh karakter” Noorazlan Ismail yang dikatakan berjalan dari Johor Bahru ke Istana Negara di Kuala Lumpur, beberapa hari lalu bagi menggesa pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menurutnya, ia dapat dilihat apabila terdapat dakwaan bahawa perjalanan pemandu teksi berusia 49 tahun itu telah diatur oleh Wan Saiful dan Perikatan Nasional (PN) untuk kepentingan politik.
“Karakter rakyat marhaen pun diserang oleh kelompok ‘mahazalim 2.0’. Sebab itu saya katakan mereka ini antirakyat.
“Terkini, mereka mahu membunuh karakter saudara Norazlan Ismail yang berjalan kaki dari Johor ke Istana Negara, kononnya pergerakan Norazlan bukan perjuangan rakyat, sebaliknya disusun oleh saya dan PN.
“Habis segala platform media, cybertroopers dan penulis pro PH-Umno dipergunakan untuk menimbulkan persepsi negatif terhadap Norazlan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Noorazlan dilaporkan menempuh jarak perjalanan sejauh kira-kira 312km dari Plaza Tol Skudai dengan memakan masa enam hari iaitu antara 28 Mac hingga 3 April, sebagai usaha memohon kerajaan membenarkan pengeluaran khas KWSP.
Bagaimanapun, usahanya itu dipertikaikan oleh beberapa pihak yang antara lain membandingkan perjalanan pelakon Sharifah Sofia Syed Hussein sejauh kira-kira 235km selama sembilan hari dari Taman Negara di Pahang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun lalu.
Malah, ketika tiba di hadapan Istana Negara, dia kemudian "secara kebetulan" bertemu dengan Wan Saiful yang ke situ bersama beberapa NGO untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk isu yang sama.
Mengulas lanjut, Wan Saiful menuding jari kepada PH-Umno yang menurutnya selama ini tidak mengendahkan tuntutan pengeluaran bersasar KWSP demi kepentingan rakyat yang memerlukannya.
“Dalam isu Norazlan, yang silapnya ialah PH-Umno. Apabila Norazlan umumkan dia mula berjalan, PH-Umno terus bongkak dan tidak menghiraukan dia.
“Kalau awal-awal PH-Umno sahut tuntutan rakyat ini, sudah pasti hari ini mereka tak perlu bunuh karakter Norazlan untuk damage control,” katanya.
“Berhentilah dari membunuh karakter Norazlan. Dia adalah pejuang rakyat yang tiada kepentingan peribadi atau politik. Takkanlah strategi pembunuhan karakter ini mereka nak gunakan terhadap orang politik sehingga ke peringkat rakyat marhaen?" tambahnya.
Pada 3 Apr, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata antara faktor kerajaan tidak membenarkan permohonan pengeluaran KWSP secara bersasar kerana kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi rakyat terutamanya golongan yang berisiko seperti pencarum KWSP yang tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk hari tua.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai