Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas ketua menteri harap nama dibersihkan lepas laporan Double Six dinyah klasifikasi

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bekas ketua menteri Sabah Harris Salleh berharap laporan nahas pesawat "Double Six" yang akan dinyah klasifikasi bakal membersihkan namanya daripada tuduhan terlibat dalam tragedi itu.

Harris (gambar atas), yang menggantikan mendiang Fuad Stephens sebagai ketua menteri pada tahun yang sama kemalangan itu, dituduh terlibat dalam insiden itu oleh beberapa pemimpin Sabah selama 47 tahun.

Fuad adalah salah seorang daripada 11 yang maut dalam nahas membabitkan pesawat Nomad 9M-ATZ buatan Australia.

"Mereka meneruskan fitnah itu meskipun kenyataan yang sedikit oleh kerajaan mengenai sebab-sebab kemalangan dan pengeluaran video dokumentari oleh seorang wartawan penyiasat Australia," kata Harris seperti dilapor The Star.

Dia berhujah bahawa pesawat Nomad itu tidak sesuai untuk terbang kerana reka bentuknya yang rosak, dan menurutnya ia telah terlibat dalam sebanyak 32 nahas di seluruh dunia, mengakibatkan 76 kematian.

Dia juga menyebut video dokumentari Australia bertajuk "Lies in the Sky", yang telah dibentangkan kepada Mahkamah Tinggi Sabah pada 1995, sebagai bukti bahawa pesawat itu tidak sesuai untuk beroperasi.

“Saya berharap pemimpin Sabah yang menuduh saya terlibat akan menerima penemuan dalam laporan siasatan mengenai nahas pesawat Nomad di Sembulan, Kota Kinabalu dan berhenti menyebarkan konspirasi mereka yang tidak terbukti,” kata Harris.

Harris berterima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mahu mendedahkan laporan itu kepada umum dan mengumumkan bahawa dia juga menyaman kerajaan Australia atas dakwaan sebelum ini bahawa ia tidak boleh mengeluarkan versi laporan siasatannya seperti yang diminta oleh kerajaan Malaysia.

“Kerajaan Malaysia telah menafikan perkara ini. Diharapkan kerajaan Australia akan mengeluarkan laporannya sekarang kerana kerajaan kita telah memutuskan untuk menyahklasifikasi laporan siasatan Malaysia,” katanya.

Fuad Stephens

Semalam, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan akan menyahklasifikasi laporan siasatan persekutuan mengenai nahas pesawat pada 1976 itu dan laporan penuh akan didedahkan kepada umum oleh Kementerian Pengangkutan minggu depan.


PANDUANKINI l Apa natijah pendedahan siasatan nahas pesawat Sabah Air


Perdana menteri menyatakan keputusan mengeluarkan laporan itu sepenuhnya adalah demi kepentingan keluarga mangsa dan rakyat Sabah.

Dikenali sebagai nahas "Double Six", laporan itu diklasifikasikan selama hampir lima dekad.

Monumen insiden Double Six di Sabah

Turut terkorban dalam insiden 6 Jun itu ialah menteri kerajaan ketika itu Salleh Sulong, Peter Mojuntin dan Chong Thien Vun.

Mangsa lain dalam tragedi itu ialah pembantu menteri negeri Darius Binion, setiausaha tetap Kementerian Kewangan Sabah Wahid Peter Andau, Isak Atan (setiausaha peribadi kepada menteri kewangan ketika itu Tengku Razaleigh Hamzah), Said Mohammad (pengawal peribadi Fuad), juruterbang Gandhi Nathan dan anak sulung Fuad, Johari Stephens.