Skip to main
Logo Malaysiakini

Yusoff Rawther tarik balik rayuan batal pembelaan salah laku seksual Anwar

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan Muhammad Yusoff Rawther menarik rayuannya untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan salah laku seksual.

Walau bagaimanapun, panel tiga hakim yang diketuai oleh Lee Swee Seng turut memerintahkan bekas pembantu penyelidik itu untuk membayar RM5,000 kos kepada Anwar atas penarikan rayuan pada minit terakhir yang hanya dimaklumkan pada bulan lalu.

Tindakan sivil Yusoff - yang masih tertangguh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur - berkenaan dakwaan bahawa Anwar melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya di pejabat presiden PKR pada Oktober 2018.

Yusoff mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah pada 9 September tahun lalu yang menolak permohonannya untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas  Anwar.

Perenggan pembelaan Anwar yang menjadi sasaran untuk dibatalkan adalah bahagian yang menerangkan dakwaan bahawa Yusoff telah menyatakan pandangan yang bersifat pro-Israel.

Yusoff juga memohon untuk menarik balik keseluruhan tuntutan balas Anwar terhadapnya atas dakwaan bahawa tuntutan balas itu kabur dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Semasa prosiding atas talian pagi ini, panel rayuan dimaklumkan oleh peguam Yusoff, Reenajit Kaur Golen bahawa pihak anak guamnya telah menulis ke mahkamah pada 6 Mac untuk memberitahu tentang penarikan rayuan tersebut.

Peguam itu memberitahu panel - yang juga terdiri daripada hakim Hashim Hamzah dan Lim Chong Fong - bahawa mereka tidak memohon kos untuk penarikan tersebut.

Namun, peguam Anwar, Navpreet Singh tidak bersetuju dan memohon agar Yusoff membayar RM5,000 sebagai kos kerana hasrat untuk menarik balik rayuan itu hanya dimaklumkan pada saat-saat terakhir.

Menurut peguam ahli Parlimen Tambun itu, mereka telah menyediakan draf hujahan bertulis yang panjang lebar serta menyediakan dokumen yang tebal untuk pendengaran rayuan.

Panel rayuan kemudian membenarkan penarikan itu dengan perintah  Yusoff membayar RM5,000 sebagai kos kepada Anwar.

Yusoff mencuri tumpuan apabila pada sidang medianya pada 4 Disember 2018, mendedahkan sumpah berkanun (SD) bahawa Anwar melakukan serangan seksualke atasnya.

Pejabat Peguam Negara pada 14 Januari 2020 mengumumkan bahawa terdapat kekurangan bukti untuk mendakwa Anwar di mahkamah jenayah atas pertuduhan itu. Yusoff pada Julai 2021, kemudiannya mengemukakan tuntutan tersebut ke mahkamah sivil.

Dia selaku plaintif mendakwa akibat kejadian itu, dirinya dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan, selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan daripada pemimpin politik, yang menyokong Anwar serta orang awam.

Oleh itu, Yusoff menuntut ganti rugi khas, umum, teruk, teladan, faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

[Baca berita penuh]