Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis Seri Alam nafi remaja kes video intim 'diperaga'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Polis Daerah Seri Alam menafikan remaja dalam kes pasangan berkelakuan tidak senonoh "diperagakan" ketika proses reman.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Mohd Sohaimi Ishak berkata remaja tersebut dan seorang lagi suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bersama suspek-suspek dalam kes lain.

"Mereka dibawa berjalan melalui laluan lazim ke bangunan mahkamah untuk proses reman.

"Sepanjang perjalanan di laluan lazim berkenaan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam tidak mengatur mana-mana pihak atau jurugambar untuk berada di lokasi bagi membuat sebarang rakaman/liputan semasa suspek-suspek dibawa untuk proses reman," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran prosedur semasa proses itu berjalan.

Sohaimi merujuk kepada kenyataan Ketua Biro Hak Asasi Manusia Muda Dobby Chew bahawa polis menggunakan gari terhadap remaja itu dan membenarkan gambarnya diambil.

Kenyataan Sohaimi bagaimanapun tidak menyentuh soal gari.

Dalam kenyataan semalam, Chew berkata tindakan itu melanggar Akta Kanak-kanak 2001.

Dia berkata, seksyen 83A(1) akta tersebut menyatakan golongan bawah umur tidak boleh digari kecuali melibatkan jenayah berat atau ada percubaan untuk mengelak tangkapan.

"Tiada tanda (remaja itu) dalam apa-apa cara melakukan jenayah berat atau mengelak tangkapan," katanya.

Katanya lagi, tindakan membiarkannya digari serta membenarkan gambarnya dirakam dan dikongsi tanpa mengambil kira hak dan kebajikannya adalah tidak beretika.