Bumbung rumah tercabut, mangsa ribut di Sepang ditempatkan di PPS
Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Balairaya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pulau Meranti, Putra Perdana, Dengkil dekat Sepang malam tadi bagi menempatkan mangsa kejadian ribut.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata PPS yang dibuka pada 10 malam itu menempatkan tujuh mangsa daripada satu keluarga.
“Keluarga itu ditempatkan di PPS itu selepas bumbung rumah mereka di Pangsapuri Angsana, Bukit Puchong 2, tercabut diterbangkan angin akibat kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata setakat ini pihaknya tidak menerima laporan berkaitan jumlah rumah yang rosak akibat ribut itu.
Terdahulu, media melaporkan lebih 20 lokasi di sekitar Kampung Pulau Meranti, Taman Putra Perdana dan Pangsapuri Angsana Bukit Puchong 2, terjejas akibat ribut petang semalam.
Kejadian kira-kira 4.30 petang itu menyebabkan beberapa infrastruktur awam, masjid, surau, premis perniagaan dan rumah penduduk turut mengalami kerosakan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai