Skip to main
Logo Malaysiakini

Bekas MB Perlis akan didakwa atas tuduhan rasuah esok

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seorang bekas menteri besar Perlis dijangka didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah esok.

Ini menurut notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kepada media yang dihantar petang tadi.

"SPRM telah mendapat izin mendakwa terhadap seorang bekas menteri besar," kata notis itu.

Butiran pertuduhan tidak diperincikan dan tidak menyebut nama tetapi beberapa akhbar melaporkan bahawa mungkin Azlan Man yang akan didakwa esok.

Gambar fail, Azlan ketika menerajui pentadbiran Perlis.

Berita Harian melaporkan, pertuduhan itu dijangka berkaitan dokumen yang dipalsukan.

Sementara itu, Bernama melaporkan Azlan Man dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen, di Kangar esok, atas pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menurut sistem e-Filing Mahkamah Persekutuan Malaysia, Azlan akan berdepan tuduhan itu di hadapan Hakim Norsalha Hamzah pada jam 9 pagi.

Azlan ialah menteri besar Perlis dari 2013 ke 2022.

Pada 2018, pengerusi Umno Perlis ketika itu Shahidan Kassim cuba melantik adiknya Ismail sebagai menteri besar.

Bagaimanapun, Azlan dipilih Raja Perlis untuk terus menjadi menteri besar, menyebabkan sembilan Adun BN memboikot majlis angkat sumpah itu.

Namun, perkara itu diselesaikan kemudian.

Pada pilihan raya umum tahun lepas, Azlan tewas di kerusi DUN Bintong kepada Perikatan Nasional.

Dia juga gagal mempertahankan jawatannya sebagai ketua Umno bahagian Kangar bulan lalu, apabila tewas kepada Fathul Bari Mat Jahya.