Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Komunikasi Madani yang tak difahami

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Saya bersahur dengan tulisan Ustaz Wan Ji Wan Hussin berkaitan kelemahan pasukan komunikasi kerajaan Madani yang sehingga hari ini kelihatannya gagal menerangkan kempen-kempen kerajaan kepada rakyat. 

Secara prinsipnya, saya setuju dengan apa yang diperkatakan oleh Wan Ji – pasukan komunikasi dan propaganda kerajaan ini tidak proaktif dan terlalu berharap dengan ‘aura’ Anwar Ibrahim. 

Kekaguman orang ramai terhadap sosok Anwar akan perlahan-lahan pudar sekiranya ia tidak disertai siri penerangan dan impak yang boleh dirasai rakyat. 

Saya pernah menulis tentang kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan melalui pintu belakang tidak mengundang kemarahan majoriti rakyat kerana pasukan medianya ketika itu gagal melawan naratif PH anti masyarakat Melayu dan Islam. 

Kerajaan hari ini bertuah kerana Umno berada di blok mereka, sekiranya Umno masih lagi pembangkang, saya fikir pasukan komunikasi kerajaan ini akan disembelih hidup-hidup.

Tak siapa ingin ambil tanggungjawab 

Salah satu isu penting yang dibangkitkan oleh Wan Ji adalah kebajikan propagandis PH yang sebelum ini banyak berkorban dalam mempertahankan perjuangan Anwar. 

Kelihatannya ramai daripada orang-orang ini telah diabaikan sumbangannya, dibiarkan lemas dalam kehidupan – diberi makan ayat ‘parti ini, parti derita’. 

Sudah tentu ia bukan lagi parti derita, memandangkan kini Anwar telah menjadi perdana menteri. 

Lebih malang, seperti yang dihujahkan oleh Wan Ji, ramai orang yang tidak berkebolehan diberikan jawatan penting – terutamanya dalam pasukan komunikasi yang kelihatan begitu gagal sehingga hari ini.

Keadaan ini amat teruk dan perlu diubah sekiranya kerajaan ini bercadang untuk bertahan lama – atau dalam tempoh terdekat, mampu memenangi beberapa pilihan raya negeri. 

Wan Ji memetik ayat nabi: “Apabila sesuatu urusan diberikan kepada orang yang tidak layak, maka tunggulah saat kehancuran.” 

Saya pula ingin memetik ayat yang sering saya dengar dalam lingkungan penyokong PH: apabila ghanimah diberikan kepada orang-orang yang tidak pernah pergi berperang, maka tunggulah kebangkitan semula musuh. 

Beberapa hari lepas saya melakukan kunjungan ke rumah Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Mohammad Agus Yusoff untuk bertanya mengapa kelemahan ini berlaku.Malangnya, beliau menjelaskan kepada saya bahawa kerja-kerja propaganda ini bukannya datang daripada J-Kom kerana beliau tidak mempunyai punca kuasa untuk melakukan hal sedemikian. Sudah tentu jika saya bertemu menteri komunikasi dan digital, saya akan diberikan jawapan yang lebih kurang sama. Hal ini menjadi masalah besar apabila semua orang mempunyai mentaliti – It’s above my pay grade. 

Saya juga kurang setuju dengan method Fahmi Fadzil yang terlalu responsif terhadap media-media yang melakukan sesuatu yang tidak dipersetujuinya. Saya percaya niat Fahmi Fadzil baik, cuma aksinya kurang tepat.

Misalnya dalam isu Berita Harian, beliau segera berjumpa dengan pengurusan Berita Harian kerana dikatakan telah menulis berita ‘fitnah’. 

Walaupun saya juga kurang bersetuju dengan hantaran Berita Harian, terlalu kerap berjumpa dengan pengurusan media akan menghantar mesej yang salah kepada rakyat. 

Elemen penting dalam demokrasi adalah kebebasan media dan akhbar, sekiranya setiap kali media melakukan sesuatu yang tidak digemari menteri – menteri akan melawat – ia seolah-olah menteri sedang melakukan micromanage kepada media. 

Seharusnya pada ketika itu, Fahmi hanya perlu menghantar surat atau pegawainya bagi memohon penjelasan. 

Buat masa ini, beliau sedang berada dalam keadaan yang tertekan – kerana semakin hari semakin banyak kritikan tentang komunikasi kerajaan yang lemah. 

Sudah tentu beliau menjadi orang pertama yang akan dipertanggungjawabkan jika kerajaan ini gagal mengawal naratif daripada koalisi yang kurang berpengalaman seperti Perikatan Nasional yang hanya akan datang dengan propaganda bangsa dan agama. 

Belum terlambat untuk berubah

Sudah tentu kritikan Wan Ji tidak akan digemari oleh mereka yang berada pada tampuk kuasa, tetapi itulah hakikat yang sedang berlaku. 

Masa semakin suntuk sebelum kita gagal mengawal naratif perkauman dan agama yang dibawa pembangkang. 

Masih ada masa untuk berubah dan mencipta pasukan yang benar-benar kompeten dan berpengalaman dalam isu ini. 

Belajarlah daripada kegagalan kerajaan Pakatan Harapan 1.0 kerana pasukanya komunikasinya yang gagal membendung naratif lawan. 


RAHMAN IMUDA merupakan seorang pemerhati politik dan penulis buku.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.