Skip to main
Logo Malaysiakini

Sanusi dakwa ada gerakan cuba singkirkannya dari Majlis Kewangan Negara

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa terdapat gerakan untuk memecatnya sebagai wakil negeri dalam Majlis Kewangan Negara.

Sanusi berkata gerakan itu cuba menggantikannya dengan Setiausaha Kerajaan Kedah Norizan Khazali.

Dia bagaimanapun tidak memberikan sebarang bukti dakwaannya.

"Saya bercakap sebelum benda ini berlaku dan saya tak boleh biarkan perkara seperti ini berlaku. Kalau orang minta bukti memanglah tiada sebab gerakan ini belum menjadi realiti.

"Depa (mereka) akan kata cakap tak ada bukti, nak bagi bukti macam mana kalau benda belum jadi tetapi saya akan pastikan gerakan ini tak akan berlaku," kata Sanusi (di atas) kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di Shah Alam, semalam, seperti dilapor Berita Harian.

Di bawah Perkara 108 Perlembagaan Persekutuan, Majlis Kewangan Negara akan memutuskan pembayaran persekutuan kepada negeri.

Majlis itu dipengerusikan oleh perdana menteri dan ahlinya terdiri daripada "seorang wakil" dari setiap negeri, dilantik oleh raja atau Yang di-Pertua Negeri.

Sanusi mendakwa bahawa komplot untuk menggugurkannya daripada Majlis Kewangan Negara adalah hasil daripada kritikan berterusannya terhadap kerajaan persekutuan.

Dia berkata gerakan itu sedang melobi sultan Kedah.

"Parti, pemimpin yang mendiskriminasi, melakukan penindasan atau ketidakadilan akan ditolak pada setiap pilihan raya.

"Kalau bukan pada pilihan raya pun, akan ditumbangkan secara berperlembagaan melalui Parlimen kerana maklumat sedemikian sangat cepat tersebar," katanya.