Skip to main
Logo Malaysiakini

Permohonan remaja Rohingya batal kesalahan imigresen didengar 29 Mei

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 29 Mei sebagai tarikh baru untuk mendengar permohonan pelarian Rohingya berusia 15 tahun di bawah tahanan untuk membatalkan kes kesalahan imigresennya.

Hakim Mahkamah Tinggi Hasbullah Adam membuat keputusan itu selepas mendengar permintaan timbalan pendakwa raya Noor Mawarni Halim untuk merujuk kes itu ke Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa (IAD) di bawah Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Kes ini melibatkan isu undang-undang antarabangsa. Kami tidak mempunyai pilihan lain selain memperuntukkan sedikit masa untuk kes dirujuk kepada IAD terlebih dahulu sebelum kami teruskan,” kata Hasbullah.

Tambahnya, kes itu diberi keutamaan walaupun mahkamah dibanjiri dengan kes lain.

Pasukan peguam remaja itu sebelum ini merujuk ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk membatalkan kes itu selepas mahkamah majistret di Petaling Jaya menolak permohonannya untuk dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu pelupusan pertuduhan kesalahan imigresen.

Sementara itu, peguamnya Collin Arvind Andrew menyatakan harapan bahawa pertimbangan lanjut oleh AGC akan menghasilkan keputusan yang memihak kepada anak guamnya.

Bercakap kepada Malaysiakini di luar bilik mahkamah hari ini, dia berkata pihak pembelaan bersedia untuk meneruskan perbicaraan, sekiranya AGC mengekalkan pertuduhan terhadap remaja itu.

“Kita akan lihat apa keputusannya. Sudah tentu, jika AGC memutuskan bahawa ia bersetuju untuk menarik balik dakwaan, ia mungkin tidak diteruskan.

“Kami akan melupuskan kes itu. Pada penghujung hari, itulah yang kami cari, demi kepentingan terbaik kanak-kanak yang kini ditahan,” katanya.

Sebelum ini, peguam itu berkata remaja itu yang tiba di Malaysia sendiri, ditahan April lalu dan kemudian didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Imigresen 1959/63, atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Dia juga berkata anak guamnya berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan telah ditahan di Penjara Kajang sejak tahun lepas.

Sementara itu, Collin hari ini berkata, asas permohonan mereka ialah pertuduhan imigresen adalah cacat dan tidak berasas kerana melanggar mukadimah keempat Akta Kanak-Kanak 2001 dan Perkara 22 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Kanak-Kanak (UNCRC).

Peguam itu menjelaskan bahawa kedua-dua undang-undang itu menyediakan perlindungan kepada kanak-kanak Rohingya yang mencari suaka.

Perkara 22 menyatakan bahawa kanak-kanak atau orang muda adalah pelarian jika mereka terpaksa meninggalkan negara mereka untuk melarikan diri dari peperangan, penganiayaan, atau bencana alam.

Kumpulan etnik Rohingya telah menjadi sasaran tindakan keras tentera oleh rejim autoritarian Myanmar yang menghalau sebilangan besar daripada mereka keluar dari negeri Rakhine di negara itu.

Sebilangan besar mereka tanpa kerakyatan dan terpaksa melarikan diri ke negara jiran Bangladesh, India, China, dan negara Asia Tenggara seperti Malaysia.