Majlis dialog cuci otak? Dia boleh kata apa saja, jawab Khaled
Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khalid Nordin mempertahankan majlis dialog bersama mahasiswa baru-baru ini yang turut menampilkan dirinya.
Ini selepas beberapa pihak, antaranya Adun Tanah Rata Ho Chi Yang yang mendakwa majlis dialog itu cuma 'sesi cuci otak' terhadap mahasiswa dalam isu pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971.
Khaled berkata Ho (gambar, bawah) bebas memberikan pandangannya walaupun tidak semestinya dikongsi oleh orang lain.
“Dia boleh berkata apa-apa sahaja,” kata Khaled kepada Malaysiakini ketika diminta mengulas kritikan tersebut.
“Ramai yang hadir tidak berpendapat seperti Adun tersebut,” katanya lagi apabila ditanya jika ia akan memberikan imej negatif kepada kementeriannya.
Kelmarin, Ho berkata sesi dialog yang berlangsung selama dua jam itu didakwa mengetepikan soalan berkenaan pemansuhan Auku yang dibangkitkan mahasiswa.
Dakwa Ho yang juga ketua biro hal ehwal mahasiswa Pemuda DAP berkata sesi yang diadakan di Putrajaya itu hanyalah platform untuk para pegawai menayangkan pencapaian penunjuk prestasi utama kementerian itu.
“Kementerian Pengajian Tinggi jelas tidak berniat untuk mendengar tuntutan pelajar untuk memansuhkan Auku.
“Mereka mengelak banyak soalan tajam daripada pelajar dan enggan menangani tuntutan untuk memansuhkan undang-undang zalim.
“Akibatnya, ramai pelajar tidak berpuas hati dan kecewa," katanya.
Berdasarkan pemerhatian Malaysiakini sewaktu membuat liputan sesi dialog tersebut, meskipun Khaled hadir sepanjang majlis dialog itu, dia tidak menjawab majoriti soalan yang diajukan.
Sebaliknya Ketua Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi Husaini Omar yang menjawab soalan-soalan yang diajukan siswa.
Rasa tidak puas hati jawapan berhubung Auku itu kemudian disuarakan oleh hadirin, dengan ramai siswa meninggalkan sesi dua jam itu dengan perasaan kecewa, mendakwa maklum balas kementerian sebenarnya tidak menjawab soalan mereka.
Ada di antara mereka yang melihat sesi itu diadakan untuk mendapatkan sokongan daripada universiti untuk mengekalkan Auku, kerana tidak menjawab soalan akta tersebut, sebaliknya mendakwa pihak kementerian sudah menyediakan jawapan mereka.
Bagaimanapun, dalam sidang akhbar lewat hari itu, Khaled berkata pindaan terhadap Auku berkemungkinan akan dibentangkan di Dewan Rakyat tahun ini, dengan draf rang undang-undangnya terlebih dahulu dihantar ke Jabatan Peguam Negara untuk kelulusan pada pertengahan Jun.
Untuk rekod, memansuhkan Auku merupakan salah satu janji manifesto PH pada pilihan raya umum lalu. Namun, kerajaan sekarang turut menggabungkan BN – yang pernah menjadi penyokong Auku pada masa lalu.
Khaled yang juga pemimpin utama BN sebelum ini berkata kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan Auku.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai