Skip to main
Logo Malaysiakini

Doktor kontrak gesa k'jaan segerakan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kumpulan doktor kontrak, Hartal Doktor Kontrak (HDK), menggesa kerajaan menyegerakan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa, kumpulan itu berkata suruhanjaya berkenaan akan memainkan peranan penting dalam memastikan kebajikan dan keselamatan pekerjaan pekerja penjagaan kesihatan di Malaysia.

Pada 30 Mac, Dr Zaliha dipetik berkata bahawa cadangan pembentukan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan akan dibentangkan melalui pembentangan Kertas Putih Kesihatan di parlimen.

Suruhanjaya reformasi itu akan ditugaskan untuk menangani isu berkaitan skim perkhidmatan untuk kakitangan kesihatan, terutamanya doktor.

Zaliha tidak memberikan garis masa untuk pembentangan Kertas Putih Kesihatan itu tetapi sebelum ini dilaporkan berkata ia akan dibentangkan pada pertengahan tahun ini.

Pembentukan suruhanjaya perkhidmatan kesihatan digembar-gemburkan oleh bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Ogos lalu, yang berkata ia akan memberi autonomi kepada pihak berkuasa untuk mengisi dan mewujudkan pekerjaan dalam sektor perkhidmatan kesihatan.

Sementara itu, memorandum HDK hari ini juga menggesa kerajaan segera mengambil langkah proaktif dalam melindungi kebajikan keseluruhan staf kesihatan kontrak di Malaysia.

"Ini merangkumi isu jaminan pekerjaan, perkembangan kerjaya, dan juga kelebihan lain yang dinikmati oleh staf kesihatan lain yang berstatus tetap, tanpa berat sebelah.

"Kami berpegang teguh dengan keyakinan bahawa sekiranya isu ini ditangani dengan baik, kerajaan mampu untuk menarik lebih ramai tenaga kerja profesional yang berkaitan dengan Sektor Kesihatan di Malaysia, yang secara tidak langsung mampu memberi jaminan keutuhan dan kejayaan reformasi Sistem Kesihatan di Malaysia.

HDK juga mengulangi permintaannya untuk dimasukkan ke dalam jawatankuasa peringkat tinggi antara kementerian yang ditubuhkan oleh kerajaan bagi meneliti isu berkaitan doktor kontrak.

Kumpulan doktor kontrak itu telah bertemu Zaliha petang tadi untuk menyerahkan memorandum mereka kepada menteri kesihatan itu.

Memorandum KDK dibuat ekoran mogok doktor yang dikatakan diadakan minggu lalu - menggesa semua doktor kontrak diberi jawatan tetap, kenaikan gaji asas dan kadar berdasarkan panggilan bertugas, dan penyelesaian masalah kekurangan kakitangan perkhidmatan kesihatan.

Bantahan itu dianjurkan oleh kumpulan yang enggan dikenali tetapi menamakan tindakan mereka sebagai "Mogok Doktor Kontrak", yang mendakwa terdiri daripada doktor kontrak khidmat penjagaan kesihatan awam.

Pun begitu, HDK menafikan sebarang kaitan dengan kumpulan itu.

Mogok itu, yang berlangsung dari 3 hingga 5 April, menggesa doktor kontrak membantah dengan mengambil cuti perubatan, cuti kecemasan, atau meletakkan jawatan secara beramai-ramai.

Bagaimanapun, akaun Instagram Mogok Doktor Malaysia telah dinyahaktifkan pada hari kedua mogok itu - menimbulkan kebimbangan tentang kesahihan bantahan tersebut.

Sebelum penyahaktifan, kumpulan itu dilaporkan telah melabelkan mogok itu berjaya, dengan mendakwa bahawa kira-kira 3,000 doktor telah mengambil bahagian.

Semakan oleh beberapa media menunjukkan bahawa hospital awam di seluruh negara tidak terjejas oleh mogok yang dikatakan itu, dengan perkhidmatan kesihatan berjalan lancar.

Malaysiakini juga bercakap dengan beberapa doktor yang memberitahu mereka tidak akan menyertai mogok itu kerana penganjur mogok berkenaan enggan dikenali.