Skip to main
Logo Malaysiakini

Kerajaan isytihar salah seorang 'waris' Sultan Sulu sebagai pengganas

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan mengisytiharkan salah seorang ‘waris’ Kesultanan Sulu sebagai pengganas, menurut Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri Khairul Dzaimee Daud.

Katanya, keputusan itu dibuat Kementerian Dalam Negeri terhadap Fuad A Kiram berhubung peranannya dalam pemberontakan Lahad Datu di Sabah sepuluh tahun lalu.

Fuad juga merupakan salah seorang daripada lapan individu yang mendakwa waris Kesultanan Sulu, yang terlibat dalam pertikaian undang-undang antarabangsa dengan Putrajaya berhubung tuntutan mereka untuk mendapatkan AS$14.92 bilion daripada Malaysia.

"Salah seorang penuntut sebagai pengganas. Fuad A Kiram, terlibat dalam kes Tanduo, dan sekarang ini telah diklasifikasikan pengganas pada 6 april 2023, bawah Seksyen 66 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata demikian pada sesi libat urus bersama media di Putrajaya. Ia diadakan untuk memberi maklumat terkini mengenai pertikaian undang-undang berkenaan.

Tindakan undang-undang Sulu itu sebagai tindak balas kepada Malaysia yang memotong bayaran pajakan tahunan sebanyak RM5,300 untuk Sabah kepada kesultanan itu pada 2013 selepas pencerobohan Lahad Datu.

Walau bagaimanapun, tidak jelas apakah jenis kesan tindakan terhadap Fuad dalam pertikaian undang-undang semasa dan jika ia akan dapat membantu Malaysia dalam kesnya.

Khairul Dzaimee (gambar, bawah) enggan mengulas apabila ditanya mengenai perkara ini.

Menurut Warta Persekutuan mengenai klasifikasi Fuad sebagai pengganas, Fuad, atau nama penuhnya Muhammad Fuad Abdullah Kiram, telah "menyertai dan memfasilitasikan pelakuan perbuatan pengganas."

Sementara itu, Khairul Dzaimee berkata kerajaan juga telah menyediakan laman web khas khusus untuk menyiarkan maklumat kes Sulu.

Dia memberitahu pemberita bahawa laman web itu, yang akan diterbitkan dalam lima bahasa termasuk Tagalog, Perancis dan Sepanyol, akan dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said (gambar, bawah) esok.

Laman web itu bertujuan untuk menyediakan maklumat yang tepat kepada masyarakat dan antarabangsa mengenai kes berkenaan, terutamanya di negara-negara yang mendengar pertikaian undang-undang ini, iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.

Mengenai maklumat terkini pertikaian undang-undang ini, Khairul Dzaimee berkata kerajaan kini melakukan pendekatan menyerang terhadap pihak yang menuntut.

Dia berkata Malaysia kini terlibat dalam pertikaian undang-undang dengan pihak yang menuntut di mahkamah di negara berkenaan, manakala kes di Mahkamah Tinggi Madrid di Sepanyol telah mengesahkan keputusan untuk membatalkan Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara.

Stampa adalah penimbang tara yang telah mengarahkan Malaysia membayar sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada keturunan sultan Sulu yang terakhir.

Menurut Khairul Dzaimee, Stampa (gambar, bawah) dilaporkan memberikan anugerah itu kepada pihak yang menuntut walaupun Mahkamah Tinggi Madrid pada 2021 telah mengetepikan keputusannya dan membatalkan pelantikannya sebagai penimbang tara.

"Pada 29 Jun 2021, Mahkamah Tinggi Madrid tentukan Dr Stampa tidak lagi jadi timbang tara.

"Pada 25 Nov, (Mahkamah Jenayah Madrid) telah fail aduan jenayah pada Dr Stampa dipersetujui Mahkamah Madrid (untuk didakwa), cuma tarikh perbicaraan belum lagi ditentukan," katanya.

Tambahnya, Stampa telah hadir ke mahkamah pada 16 Mac dan dimaklumkan mengenai keputusan mahkamah itu dan diberi masa 10 hari untuk memfailkan pembelaannya.

[Baca berita asal]