Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Turkiye: Dialog dengan Israel tak boleh korbankan perjuangan Palestin

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Menteri Luar Turkiye, Mevlut Cavusoglu mengecam serangan Israel, yang menceroboh kesucian Masjid al-Aqsa pada bulan Ramadan.

“Kami mengutuk serangan Israel yang melanggar kesucian Masjid al-Aqsa pada bulan Ramadan,” kata Cavusoglu.

Beliau berkata, layanan tidak berperikemanusiaan polis Israel terhadap jemaah di Masjid al-Aqsa tidak boleh diterima.

Beliau menyatakan bahawa negaranya telah menerima berita tentang pemberhentian serangan Israel ke atas Masjid al-Aqsa, tetapi menambah bahawa Israel mesti menghentikan serangan seumpamanya dan menghentikan serangan udara secara kekal.

Dalam pada itu, Cavusoglu mengimbas kembali komitmen Menteri Luar Israel Eli Cohen pada lawatan terakhirnya ke Ankara untuk memelihara status Masjid al-Aqsa, sambil menyatakan pada masa yang sama bahawa bulan terakhir Ramadan menyaksikan ketegangan yang sama.

Menteri Turkiye itu menambah, hal ehwal keselamatan di Israel diserahkan kepada ahli politik yang paling rasis dan fasis, merujuk kepada Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben Gvir.

Mesyuarat tergempar OIC

Cavusoglu turut menyatakan bahawa Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan mesyuarat tergempar terbuka selepas serangan Israel baru-baru ini.

Beliau mengulangi bahawa penyelesaian tetap terletak pada penyelesaian dua negara yang diterima secara universal dan penubuhan negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Berikutan itu, Cavusoglu menghubungi rakan sejawatannya dari Palestin, Riyad al-Maliki dan Israel, Eli Cohen, juga negara anggota OIC bagi membincangkan isu tersebut.

“Turkiye telah memulakan dialog baru dengan Israel, tetapi penglibatan kita dengan Israel pastinya tidak boleh mengorbankan perjuangan Palestin. Masjid al-Aqsa dan Baitulmaqdis sentiasa menjadi pegangan bagi kita, dan dalam hal ini adalah sesuatu yang kita tidak boleh tawar-menawar,” kata Cavusoglu.

Mengenai pertemuan empat pihak di Moscow antara timbalan menteri luar Turkiye, Rusia, Iran dan Syria, beliau menyatakan, dialog mesti diteruskan dan adalah berguna untuk memperhebatkan perundingan dengan cara yang sama.

“Di Moscow, setiap pihak menyatakan pendirian dan visinya dengan cara yang jelas serta telus. Kami mahu meneruskan peringkat ini dengan kejelasan dan ketelusan yang sama,” katanya.

Beliau turut menyedari bahawa mereka tidak akan dapat menyelesaikan semua isu dalam satu atau dua mesyuarat.

“Kami jelas, tetapi dialog mesti diteruskan, dan ia bagi mempergiatkan perundingan,” tambahnya.

Cavusoglu turut mengucapkan terima kasih kepada Rusia atas inisiatifnya dalam menganjurkan mesyuarat empat pihak.

Tentang sebarang serangan

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyentuh tentang Islamofobia dan serangan terhadap kesucian umat Islam di Eropah, dengan berkata: “Kami menentang sebarang serangan terhadap kesucian mana-mana agama atau kepercayaan,” ujarnya sambil menegaskan bahawa Pertubuhan Keselamatan dan Kerjasama di Eropah memainkan peranan penting dalam memerangi anti-semitisme, seterusnya menyeru untuk memerangi semua bentuk ucapan kebencian, seperti anti-Islam dan anti-Kristian.

Bagi perjanjian untuk mengangkut bijirin dari pelabuhan Ukraine merentasi Laut Hitam, Cavusoglu mengumumkan perjanjiannya dengan Lavrov mengenai keperluan untuk menghapuskan semua halangan kepada eksport bijirin dan baja Rusia juga.

Semasa mesyuarat NATO baru-baru ini di Brussels, Cavusoglu membincangkan perjanjian bijirin dengan rakan sejawatannya di negara-negara NATO, yang diketuai oleh Amerika Syarikat dan Britain, menekankan dalam kenyataannya keperluan untuk menghapuskan halangan kepada eksport bijirin dan baja Rusia untuk memanjangkan perjanjian bijirin.

Cavusoglu menegaskan semula keperluan menghentikan perang antara Rusia dan Ukraine serta memulakan rundingan berdasarkan undang-undang antarabangsa.

“Kami sedang berkomunikasi dengan kedua-dua pihak dan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan pertikaian itu.”

Menurutnya, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan sentiasa berhubung dengan rakan sejawatannya dari Rusia dan Ukraine, Vladimir Putin dan Volodymyr Zelensky.

Bincang isu beberapa negara

Pada Jumaat lalu, beliau mengadakan pertemuan dan sidang media bersama rakan sejawatnya dari Rusia, Sergey Lavrov di Ankara, yang menekankan tentang pencabulan yang terjadi di Masjid al-Aqsa baru-baru ini.

Selain itu, menteri Turkiye dan Rusia itu turut membincangkan situasi di Libya, dan Cavusoglu mengesahkan bahawa mereka bersetuju mengenai keperluan untuk mengadakan pilihan raya yang demokratik dan telus di sana.

Turut ditekankan isu kumpulan bersenjata di Libya, keperluan negara untuk pasukan keselamatan bersatu, termasuk tentera juga polis, dan Ankara bekerjasama dengan Rusia serta negara lain untuk menyelesaikan isu ini.

Menurut Cavusoglu lagi, Turkiye sedang berusaha tanpa henti untuk mengadakan sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Ekonomi Laut Hitam selepas ia mengambil alih jawatan presiden bergilir Julai depan.

Menteri Cavusoglu dan Lavrov juga membincangkan perkembangan dalam hubungan antara Armenia dan Azerbaijan, dan perkembangan di Afghanistan dan Cyprus.

Mereka juga membincangkan hubungan dua hala di pelbagai peringkat, yang paling utama ialah pengukuhan hubungan ekonomi, perdagangan dan pelancongan dan kerja pembinaan loji kuasa nuklear Akkuyu di negeri Mersin, Turkiye.

Masjid al-Aqsa diceroboh

Terdahulu, berpuluh orang penceroboh Israel, pada Selasa, menyerbu Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur di bawah perlindungan polis yang ketat sempena perayaan Paskah Yahudi.

Polis Israel membenarkan mereka menyerbu masjid secara berkumpulan melalui Pintu Mughrabi di dinding barat Masjid al-Aqsa.

Dilaporkan, polis Israel mengiringi pendatang haram Yahudi semasa pencerobohan mereka, dan pada masa yang sama pegawai polis dikerahkan dengan ketat di halaman masjid.

Selain itu, sejak sebelum solat subuh, polis Israel menghalang warga Palestin di bawah umur 50 tahun daripada memasuki Masjid al-Aqsa untuk menunaikan solat.

Beratus orang rakyat Palestin menunaikan solat subuh di jalan-jalan berhampiran Masjid al-Aqsa selepas dihalang memasukinya, dan pencegahan berterusan sehingga pencerobohan berhenti sebelum solat zuhur.

Jemaah yang hadir di masjid turut memprotes pencerobohan itu dengan melaungkan “Allah Maha Besar.”

Jabatan Wakaf Islam di Baitulmaqdis berkata pada Isnin bahawa seramai 1,531 penceroboh Yahudi menyerbu masjid itu, manakala 912 menyerbunya pada Ahad.

Kumpulan penceroboh menyeru supaya menyerbu secara besar-besaran Masjid al-Aqsa sempena perayaan Paskah Yahudi, yang bermula petang Rabu lalu dan berlangsung selama seminggu.

Namun, kerajaan aparteid Israel belum memutuskan pendiriannya berhubung menghentikan pencerobohan ke dalam Masjid al-Aqsa pada sepuluh hari terakhir Ramadan yang bermula minggu lalu.

Sebelumnya, adalah menjadi kebiasaan bagi Israel untuk menghentikan pencerobohan peneroka ke dalam Masjid al-Aqsa pada sepuluh hari terakhir Ramadan.

Kota Baitulmaqdis telah menyaksikan ketegangan sejak awal minggu lalu, selepas polis Israel menyerbu Masjid al-Aqsa pada waktu malam, menghalang jemaah daripada melakukan iktikaf dan menyerang mereka.

Pencerobohan berulang kali ke dalam al-Aqsa menyebabkan ketegangan dan pertempuran di seluruh wilayah Palestin dan wilayah Arab Israel, selain tembakan roket dari Lubnan, Gaza dan Syria.

Hentikan konfrontasi

Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata, konfrontasi dengan pendudukan masih belum berakhir, dan ia tidak akan berakhir tanpa rakyat negara ini memperoleh hak sah mereka dalam negara merdeka mereka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

“Kami hidup dalam realiti baharu, berbahaya dan berbeza yang telah mewujudkan situasi yang mustahil untuk diteruskan, yang akan membawa kepada menutup mana-mana ufuk politik pada masa depan,” kata jurucakap rasmi Presiden Palestin, Nabil Abu Rudeineh.

Beliau memberi amaran tentang keseriusan arahan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett kepada tenteranya untuk beroperasi tanpa sekatan dan untuk melepaskannya di Tebing Barat kerana pembunuhan dan kekejaman.

“Kami memberi amaran tentang keputusan kerajaan Israel untuk membina tembok itu, dan pembunuhan berterusan warga Palestin setiap hari, yang terbaru adalah pembunuhan kejam dua warga wanita oleh tentera pendudukan,” kata Abu Rudeineh.

Awal minggu ini, kerajaan Israel meluluskan penambahan 40 kilometer pada tembok yang memisahkan Tebing Barat yang diduduki dari Israel.

Dilaporkan, Israel mula membina tembok antara Tebing Barat dan Israel pada 2002, dan rakyat Palestin memanggilnya sebagai ‘tembok aparteid’.

Berikutan itu, beliau menggesa perlindungan antarabangsa dan campur tangan antarabangsa untuk menghentikan pencerobohan Israel terhadap Palestin, sebelum keadaan mencapai tahap yang dahsyat.

Terdahulu, sejak awal Mac lalu, Israel dan wilayah Palestin yang diduduki telah menyaksikan ketegangan yang hebat berikutan beberapa siri serangan yang dilancarkan oleh rakyat Palestin di seluruh negara.

Tragedi yang berlaku itu menimbulkan kecaman dan kemarahan yang sangat umat Islam seluruh dunia atas tindakan Israel yang tidak menghormati bulan suci Ramadan apalagi terus menceroboh hak rakyat Palestin.


ATRIZA UMAR merupakan pegawai Jabatan Komunikasi dan Media Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.