Skip to main
Logo Malaysiakini

Jabatan Kesihatan S'wak: Lina terima rawatan meski tanpa MyKad

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pesakit kanser Lina Samuel tidak dinafikan rawatan di Hospital Miri dan Lawas walaupun MyKadnya dirampas oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak Dr Ooi Choo Huck berkata perkara itu disahkan oleh anak perempuan Lina.

Dr Ooi berkata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak telah menghubungi anak perempuan Lina dan mendapat pengesahan bahawa Hospital Lawas dan Hospital Miri tidak pernah menolak untuk merawat ibunya.

"Sebagai makluman, individu yang dilaporkan merupakan seorang pesakit kanser di bawah rawatan dan pemantauan Pakar Bedah di Hospital Miri.

"Pihak Hospital Miri telah melakukan beberapa prosedur dalam merawat pesakit berkenaan, termasuklah pengimejan pada 15 Februari 2023, prosedur pembedahan pada 17 Februari 2023 dan pengimejan susulan pada 20 Mac 2023.

"Dari segi perawatan dan pemeriksaan, pihak Hospital Miri telah memberikan perkhidmatan yang sewajarnya kepada pesakit tersebut, malah, pesakit turut diberikan janji temu rawatan susulan di Klinik Pakar, Hospital Miri pada 17 April 2023," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi anak perempuan Lina untuk mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan Dr Ooi.

Kata Dr Ooi lagi, Lina juga telah menerima rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Lawas pada 1 April lalu, di mana dia telah menjalani pemeriksaan dan dirujuk kepada pegawai perubatan yang bertugas atas panggilan.

Ooi menegaskan jabatan kesihatan negeri komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat Sarawak tanpa mengira latar belakang, tetapi ia tertakluk kepada undang-undang dan peraturan semasa.

Pada 9 April, Malaysiakini melaporkan bahawa Lina berusia 65 tahun, yang menghidap kanser usus, tidak mendapat rawatan hospital selepas MyKadnya dirampas.

Lina yang menetap di Lawas, Sarawak menjelaskan MyKad miliknya telah dirampas oleh JPN pada November tahun lalu selepas lawatan ke pejabat JPN untuk menukar alamat pada kad pengenalannya, supaya dia boleh mengundi pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata JPN mendapati Lina adalah warganegara Indonesia. Ini walaupun warga emas itu mendakwa bahawa dia dari suku kaum Lun Bawang.

Bagaimanapun, ketika dihubungi Malaysiakini, JPN berkata kes itu masih dalam siasatan dan masih belum menemui Lina.

Pengarah Lawyers for Liberty Zaid Malek sebelum ini mengecam kenyataan Saifuddin dengan menyatakan bahawa keadaan Lina adalah di bawah Bahagian 1 Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1957.

Bahagian 1 menetapkan bahawa orang yang lahir selepas Hari Malaysia (16 Sept 1963) adalah warganegara mengikut kuat kuasa undang-undang. Peraturan ini juga diperluaskan kepada sesiapa yang lahir dalam Persekutuan selepas Hari Merdeka dan sebelum Oktober 1962.

Ahli Parti Bangsa Malaysia (PBM) Agnes Padan pula berkata Lina dilahirkan pada 1957, sebelum Malaysia ditubuhkan, ketika tiada keperluan untuk mendaftar kelahiran di Sarawak.

Menurut anak perempuan Lina, wanita warga emas itu tidak ingat di mana dia dilahirkan secara rasmi kerana ibu bapanya meninggal dunia ketika dia masih kecil dan dia kehilangan sijil kelahiran apabila dia berpindah ke Lawas pada usia belasan tahun.

Bagaimanapun, anak perempuannya memberitahu Malaysiakini bahawa sebelum berpindah, Lina tinggal di Kampung Long Sui - kira-kira 18km dari Lawas - sejak dia masih bayi.