Skip to main
Logo Malaysiakini

Exco Selangor anggap MP Maran berfikiran sempit

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seorang exco kerajaan Selangor mengecam Ahli Parlimen Maran Ismail Abd Muttalib kerana mempersoalkan status "kampung baru" dan menggambarkan penduduknya ada pertalian dengan hubungan komunis.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ng Sze Han berkata kewujudan kampung baru mempunyai sejarah panjang di Malaysia dan ia turut menyumbang kepada pertumbuhan negara.

Mengulas jawapan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail kepada Ismail di Dewan Rakyat baru-baru ini, Ng berkata asalnya kampung-kampung baru diwujudkan oleh British untuk menempatkan masyarakat Cina yang kebanyakannya menjadi mangsa pemberontak komunis.

Pada masa sama, kata exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor itu lagi, penduduk terbabit bukanlah komunis.

“Sejarah ini tidak boleh diubah. Selain itu, kampung baru memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, dan ini merupakan sumbangan kita kepada negara,” tambahnya.

Kebanyakan petempatan kampung baru di Lembah Klang mengalami perubahan dengan lokasi tersebut akhirnya bertukar menjadi bandar besar - fenomena yang disambut kerajaan Selangor dalam Pesta Kampung Baru di Pavilion Bukit Jalil hujung minggu lalu.

Ng berkata acara itu bertujuan mempromosikan ekonomi petempatan kampung baru dan warisan budaya yang ada di situ. Katanya acara itu menarik lebih 50,000 pengunjung.

“Kampung-kampung baru tidak seharusnya diketepikan secara berperingkat kerana mengikut perubahan zaman.

"Kita mesti secara aktif memulihara mereka, dan melalui pelbagai aktiviti, mengekalkan sejarah penting negara kita ini.

"Ini adalah perkara yang perlu dilakukan oleh kerajaan, bukannya menghasut rakyat dengan memainkan sentimen perkauman dan mengelirukan mereka seperti dilakukan sesetengah individu," katanya.

Dapat lihat dengan jelas

Ng yang juga Adun Kinrara berkata kerajaan Selangor memulakan program Baik Selangor yang bertujuan untuk merangsang ekonomi kampung baru dan pada masa sama menegaskan kepentingan kampung baru sebagai aset sosial yang bernilai.

Melalui program itu, katanya, bukan saja masyarakat Cina terbabit malah terdapat juga pemilik perniagaan Melayu yang menyertainya.

Justeru Ng berkata soalan dikemukakan Ismail itu sangat tidak wajar kerana memutarbelitkan fakta, sekali gus mendedahkan pemikiran sempit dan ketidakupayaan ahli parlimen terbabit untuk menerima kepelbagaian budaya.

“Memang jelas dia membangkitkan persoalan ini dengan mengambil kira pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

"Ismail mahu mencetuskan sentimen perkauman dan konflik dalam kalangan rakyat supaya mereka (PN) mampu mengekalkan kemenangan di Kelantan dan Terengganu," katanya.

Justeru Ng berkata kerajaan Selangor berharap pengundi yang akan membuat pilihan pada PRN tidak lama lagi dapat membezakan parti politik yang benar-benar bekerja untuk negara, menjunjung perlembagaan, dan menghormati kepelbagaian masyarakat berbanding sebaliknya.

"Saya percaya ramai pengundi melihatnya dengan jelas dan akan membuat keputusan yang bijak," kata Ng.

[Baca berita penuh]