Skip to main
Logo Malaysiakini

SPRM tahan pegawai kanan menteri sumber manusia

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

SPRM telah menahan seorang pegawai kanan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar ketika serbuan di kementerian itu di Putrajaya, pagi ini.

Ketika dihubungi, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan bahawa tangkapan itu berkaitan dengan dakwaan rasuah yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.

"Kes rasuah berkaitan kuota (pengambilan) pekerja asing," katanya dalam pesanan teks ringkas kepada Malaysiakini.

Laman The Vibes melaporkan tangkapan itu berhubung dakwaan mereka yang terlibat telah menubuhkan agensi pengambilan pekerja asing untuk mendapatkan kelulusan kementerian walaupun ada konflik kepentingan.

Difahamkan siasatan SPRM bertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya.

Sumber industri memberitahu Malaysiakini bahawa individu yang ditahan itu adalah pegawai kanan yang boleh mempengaruhi kelulusan kuota pengambilan daripada agensi pekerja.

Bulan lalu, Sivakumar mengumumkan permohonan dan kelulusan kuota pekerja asing, termasuk melalui Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing, digantung sementara.

Ketika itu, dia berkata langkah itu untuk membolehkan majikan yang telah diberi kuota untuk mula merangka perancangan bagi kemasukan segera pekerja asing.