Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Lantikan politik dalam agensi k'jaan membimbangkan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Dalam tempoh sebulan dua ini, kita dapat menyaksikan lantikan demi lantikan politik sebagai pengerusi di agensi, badan berkanun dan syarikat milik kerajaan di beberapa kementerian.

Walaupun Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook memberi jaminan bahawa tiada lantikan politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), namun kerajaan dilihat masih melantik ahli-ahli politik dalam agensi, badan berkanun dan syarikat milik kerajaan.

Antara kementerian yang terlibat ialah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Komunikasi dan Digital, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, dan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Kebanyakan nama-nama lantikan yang terlibat ialah dalam kalangan ahli parlimen, mantan ahli parlimen dan ahli politik. Ini tidak termasuk lagi mereka yang dilantik adalah pemimpin syarikat yang terlibat dalam perniagaan yang dikawal selia oleh badan yang ia sendiri pengerusikan.

Ini boleh menimbulkan konflik kepentingan (conflict of interest), justeru boleh membawa kepada penurunan keyakinan pelabur.

Antara lantikan politik adalah melibatkan Majlis Amanah Rakyat (MARA), MyCreative Ventures Sdn Bhd, Suruhanjaya (SSM), FELCRA Berhad, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), TEKUN Nasional dan SME Corporation Malaysia.

Selain itu, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Lembaga Kemajuan WIlayah Kedah (KEDA) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

Lantikan politik dipersoalkan

Pelantikan-pelantikan ini boleh menimbulkan persoalan mengenai kelayakan ahli-ahli politik ini dalam aspek kompetensi dan integriti untuk memimpin agensi kerajaan, badan berkanun dan syarikat milik kerajaan supaya lebih berdaya maju.

Ini kerana kita masih belum dapat lihat lagi kewujudan mekanisme pemilihan yang jelas dan telus melalui badan, panel atau lembaga tertentu dalam proses pelantikan tersebut.

Justeru, lapan karakter bangsa wajar dijadikan kriteria dan ciri dalam memilih kepimpinan iaitu berkemampuan, berdaya maju, amanah dan berintegriti, kasih sayang, jujur, berkeadilan, utamakan rakyat dan berprinsip.

Ini termasuklah kelayakan akademik atau pengalaman yang bersesuaian bagi memimpin agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat milik kerajaan mahupun GLC.

Oleh itu, calon kepimpinan yang terbaik mestilah dipilih untuk kebaikan negara, khususnya jawatan-jawatan yang mempunyai kepentingan awam dan melibatkan dana awam.

Rakyat sedang memerhatikan tindak-tanduk kerajaan dan mengharapkan reformasi yang jelas dan telus dalam menambah baik proses pelantikan ini.

Pelantikan yang hanya kerana berdasarkan jawatan seseorang dalam politik bukan kerana kelayakannya, dibimbangi boleh menjadi alat untuk melebarkan pengaruh dan mengukuhkan kedudukan masing-masing, juga mendedahkan kepada risiko salah guna kuasa.

Bahkan, kemungkinan besar akan berlaku campur tangan politik yang menyebabkan berlaku penyelewengan, rasuah dan salah laku dalam tadbir urus, sekali gus mengakibatkan kerugian kepada agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat milik kerajaan dan GLC.

Serah kepada ahlinya

Islam mewajibkan umatnya supaya menyerahkan amanah dalam melaksanakan sesuatu urusan itu kepada mereka yang ahli (pakar).

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil." (An-Nisa': 58)

Oleh itu, kita perlu berwaspada dan mengambil pengajaran daripada sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran.” Ia bertanya, “Bagaimana amanah disia-siakan, ya Rasulullah?” Baginda menjawab: “Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran.” (HR Bukhari, No. 6496)

Hadis ini menunjukkan bahawa kehancuran dan kerosakan akan terjadi sekiranya amanah disia-siakan akibat daripada sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahli dan kepakarannya dalam sesuatu bidang.

Peribahasa Melayu ada menyebut, “Kuat gajah terdorong, kuat harimau terlompat-lompat,” yang membawa maksud orang besar-besar melakukan kesalahan kerana kekuasaan yang ada padanya.

Pengajarannya, lantiklah calon pemimpin agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat milik kerajaan dan GLC yang benar-benar layak, memenuhi kriteria yang ditetapkan dan mempunyai pengalaman dalam bidang berkaitan.

Mekanisme dan kriteria

Oleh itu, ingin ditegaskan bahawa menjadi satu keperluan kepada pihak kerajaan untuk mewujudkan mekanisme yang jelas dan telus melalui badan, panel atau lembaga tertentu untuk memproses pelantikan kepimpinan terbaik dalam agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat milik kerajaan dan GLC.

Kriteria yang jelas dan spesifik perlu dibangunkan berdasarkan skop, peranan dan tanggungjawab sesuatu tugas kepimpinan, dengan menekankan kriteria calon yang kompeten dan berintegriti, serta mempunyai kelayakan akademik atau pengalaman yang bersesuaian.

Apabila proses pemilihan atau pelantikan pemimpin itu jelas, diinstitusikan dan telus, maka calon yang terbaik dapat dipilih berdasarkan mekanisme dan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan.

Dengan yang demikian, calon yang dilantik dapat memacu agensi kerajaan, badan berkanun, syarikat milik kerajaan dan GLC agar lebih berdaya maju, memberikan khidmat yang terbaik dan membuahkan hasil yang signifikan dan bermanfaat untuk rakyat dan negara.

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.


BADLISHAH SHAM BAHARIN merupakan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia.

Tulisan ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.