'Pemasaran gempak tapi baju Melayu indah khabar dari rupa'
Sempena Aidilfitri yang bakal tiba, sudah pasti ramai peniaga mengambil peluang mempromosikan produk masing-masing kepada pelanggan.
Namun, di sebalik keriuahan promosi seumpamanya, beberapa pengguna menyatakan rasa kesal apabila mendapati pemasaran sebuah jenama baju Melayu tempatan yang popular tidak sepadan dengan kualiti baju yang mereka terima.
Menurut seorang juruaudit Azreen, 31, dia baru-baru ini membeli set baju Melayu dari jenama berkenaan untuk suaminya kerana tertarik dengan pengiklanan jenama tersebut, selain ingin menyokong jenama tempatan.
Namun, menurutnya, dia kecewa apabila mendapati kemasan jahitan pada bahagian bahu dan hujung baju Melayu itu tidak sekata.
Azreen berkata dia hanya akan mempertimbangkan untuk membeli baju Melayu daripada jenama berkenaan pada masa akan datang jika ada penambahbaikan.
“Mungkin boleh (beli lagi pada masa akan datang) tapi kalau ada improvement (penambahbaikan) dalam kekemasan jahitan sebab bahagian bahu dijahit tak kemas,” katanya.
Selain itu, katanya, paparan warna di laman web dengan warna sebenar juga merupakan isu yang dihadapi olehnya.
“Saya tengok di laman web warna baju tersebut kelabu gelap, tetapi apabila sampai di kedai cair pula warnanya,” katanya yang kecewa kerana telah membeli baju raya sedondon berwarna kelabu gelap.
Pengiklanan gempak
Menurut seorang penolong pengurus eksekutif pemasaran yang hanya mahu dikenali sebagai Herri, dia juga membeli atas sebab pengiklanan yang gempak daripada jenama berkenaan.
Jenama itu, antara lain, menggunakan khidmat selebriti popular tanah air yang memperagakan baju Melayu keluaran mereka sebagai tujuan promosi.
“Ingat dengan harga tu, kualiti okaylah, tetapi banyak kecacatan (defect).
“Memang takkan beli lagi dah sebab kalau pemasaran hebat macam mana pun tapi baju tak ada kualiti,” katanya.
Pemasaran jenama berkenaan termasuklah menggunakan khidmat selebriti popular tanah air.
Herri, 31, juga berkata dia sudah berulang kali datang ke kedai itu untuk membuat penukaran baju dan memilih kualiti yang lebih memuaskan.
Demikian juga kisahnya dengan Wani, 27, yang pernah membeli jenama sama tahun lalu.
Pegawai khidmat pelanggan itu berkata dia berpuas hati dengan kualiti baju daripada jenama berkenaan yang dibelinya tahun lalu.
Bagaimanapun, Wani kecewa tahun ini apabila dia mendapati jahitan baju Melayu yang dibeli dalam talian kurang memuaskan.
“Saya pergi ke kedai tersebut pada puasa ketiga tapi sudah habis dijual, sebab tu saya beli dalam talian,” katanya.
Katanya, sebaik sahaja menerima baju itu pada 27 Mac lalu, dia terus memeriksa keadaan baju tersebut dan mendapati jahitan di bahagian bahu bergumpal dan benang terkeluar.
Dia seterusnya membuat aduan kepada khidmat pelanggan dan bersetuju untuk membuat penukaran, tetapi apabila baju baru sampai pada 1 April, kualiti kekemasan jahitan baju masih dalam keadaan yang sama.
Dia sekali lagi membuat aduan dan khidmat pelanggan menawarkan untuk menukar baju dan pemulangan wang namun terpaksa menolak kerana kesuntukan masa untuk memotong lebihan kain pada baju Melayu tersebut.
“Jadi pengajaran untuk saya kalau boleh, beli baju yang kita boleh tengok jahitan depan mata dan tahun depan saya mahu cuba jenama lain,” katanya.
Wani juga berkongsi rasa hairan kerana kotak baju berkenaan dalam keadaan seperti sudah dibuka yang memberi gambaran produk berkenaan sudah diperiksa terlebih dahulu sebelum dihantar kepada pembeli.
Malaysiakini sudah menghubungi syarikat tersebut untuk mendapatkan penjelasan namun mereka enggan mengulas isu ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai