Skip to main
Logo Malaysiakini

PRN: Rundingan kerusi PH, BN peringkat negeri boleh mula - Saifuddin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pakatan Harapan (PH) di enam negeri boleh memulakan rundingan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bersama Barisan Nasional (BN) bagi persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata proses rundingan telah dibincangkan di peringkat pusat antara PH dan BN berdasarkan parameter serta formula yang ditetapkan.

"Di peringkat negeri, kami mengarahkan untuk memulakan rundingan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

“Mana-mana yang mencapai persetujuan kami anggap bersetuju dan bagi yang belum bersetuju, perkara itu akan diangkat ke peringkat jawatankuasa di peringkat Pusat untuk dimuktamadkan," katanya kepada pemberita pada majlis penerapan nilai-nilai murni dan iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani di Seremban semalam.

Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ia bagi memastikan tiada pertembungan antara PH dan BN pada hari penamaan calon.

Beliau berkata isu berbangkit mengenai tuntutan kerusi merupakan proses biasa dalam rundingan politik.

Sebelum ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias dilaporkan berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan awal dengan PH negeri bagi mencari persefahaman, selain turut meminta diberikan tambahan dua kerusi DUN dalam PRN nanti.

- Bernama