Skip to main
Logo Malaysiakini

Minyak masak bersubsidi: Pegawai KPDNHEP didakwa ‘lebih belanja’ RM9j

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Seorang pegawai tinggi di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDNHEP) didakwa berbelanja berlebihan untuk subsidi minyak masak tahun lepas, sehingga menyebabkan siasatan rasmi dijalankan.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa sewaktu peralihan kerajaan tahun lepas, ketua setiausaha kementerian ketika itu Azman Mohd Yusof meluluskan subsidi berjumlah kira-kira RM9 juta kepada lebih 20 syarikat walaupun kuota tersebut telah digunakan.

Meneliti dua surat yang dilihat oleh Malaysiakini, pejabat Azman memberi kelulusan kepada dua daripada syarikat ini pada 21 Nov tahun lepas. Ia berkata kerajaan akan membekalkan dua syarikat itu dengan 150 tan minyak masak bersubsidi sebulan selama lima tahun, menurut permohonan yang mereka buat pada April tahun tersebut.

Surat-surat itu juga menunjukkan kedua-dua syarikat itu berkongsi alamat yang sama di Kuala Lumpur.

Untuk rekod, pilihan raya umum ke-15 diadakan pada 19 Nov tahun lalu, tetapi Anwar Ibrahim tidak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri sehingga 24 Nov. Kumpulan pertama 28 anggota kabinet mengangkat sumpah pada 2 Dis.

Selepas pembentukan kabinet, KPDHEP dijenamakan semula sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, dengan Salahuddin Ayub sebagai menterinya.

Sumber memberitahu insiden berhubung kelulusan subsidi minyak masak itu telah menimbulkan syak wasangka – memandangkan ia berlaku ketika peralihan kuasa, dengan lebihan perbelanjaan kuota dan kedua-dua syarikat berkongsi alamat yang sama.

Sumber lain memberitahu Malaysiakini bahawa Azman telah melebihi kuota sebanyak 5,439 tan pada November tahun lepas.

Azman didakwa kurangkan subsidi

Berdasarkan dokumen yang dilihat seperti satu dokumen KPDHEP itu, pegawai kementerian berkenaan telah mencadangkan mengurangkan subsidi beberapa syarikat pada tahun ini untuk menampung kekurangan yang disebabkan oleh perbelanjaan yang berlebihan.

Mereka mencadangkan tiga pilihan: Mengurangkan subsidi bagi syarikat yang telah menerimanya selama lebih dari lima tahun, mengurangkan subsidi untuk syarikat yang menerima lebih daripada 500 tan, atau bagi yang menerima lebih 300 tan.

Sementara itu, sumber itu menunjukkan surat yang didakwa datang dari pejabat Azman bertarikh 29 Nov tahun lepas, memaklumkan syarikat yang menerima subsidi minyak masak selama lebih lima tahun itu bahawa subsidinya akan dikurangkan.

SPRM siasat

Sumber itu juga menyoal bagaimana Azman masih boleh meluluskan lebih banyak subsidi minyak masak kepada syarikat berkenaan walaupun kuota untuk itu telah habis digunakan dan menteri yang baru masih belum mengangkat sumpah.

Sumber itu juga menyoal sama ada tindakan itu satu perbuatan salah guna kuasa atau tidak.

Pada masa sekarang, kerajaan mampu memberi subsidi 60,000 tan minyak masak sebulan, yang didakwa sumber itu menelan belanja kerajaan kira-kira RM180 juta sebulan.

Penggunaan melebihi kuota sebanyak 5,000 tan dijangka akan menanggung perbelanjaan tambahan kira-kira RM9 juta, kata sumber itu.

Sumber itu juga mendakwa SPRM telah memanggil beberapa pegawai kementerian termasuk Azman untuk disoal siasat.

Malaysiakini telah menghubungi Azman dan SPRM untuk mendapatkan komen dan masih belum mendapat sebarang maklum balas.

Sementara itu, semalam Salahuddin dilaporkan memberitahu China Press yang perkara tersebut akan dikendalikan mengikut proses undang-undang yang sewajarnya.

“Tidak kira ia melibatkan dia (Azman) atau mana-mana pegawai kementerian, saya sentiasa berpegang kepada prinsip integriti.

“Biarkan undang-undang dilaksanakan dengan sewajarnya,” katanya seperti yang dilaporkan media tempatan itu.

Pada Februari lalu, Salahuddin memberitahu parlimen bahawa kementeriannya bercadang untuk menambah kuota subsidi minyak masak, tetapi ia perlu dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (Naccol).

[Baca berita asal]