Skip to main
Logo Malaysiakini

Kedah jadi lokasi pertama sambutan raya PM, jemaah menteri

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kedah menjadi lokasi pertama sambutan Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan jemaah menteri.

Perdana menteri mengumumkan Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri pada tahun ini tidak akan diadakan Sri Perdana di Putrajaya, seperti kelaziman sebelum ini.

Menurut Bernama, Anwar dan barisan menteri sebaliknya ke negeri-negeri dan menyertai majlis anjuran sama ada kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri, dan bermula di Alor Setar pada 29 April ini.

"Jadi kita ada minat sikit dengan Alor Setar kerana saya diberitahu makanan di Alor Setar itu jauh lebih lazat daripada tempat lain," katanya ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri Madani di Sungai Petani, Kedah malam tadi.

Turut hadir Menteri dalam acara itu adalah Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul dan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.

Dalam ucapannya, Anwar turut membangkitkan ketegasan kerajaan dalam mentadbir negara telah berjaya membantu meningkatkan pendapatan negara.

Antaranya menerusi kutipan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menurutnya telah bertambah ekoran cukai terhadap golongan kaya.

"LHDN memperoleh kutipan yang melonjak naik cukup tinggi dan angka akan diumumkan kemudian. Jadi maknanya bila kita lakukan satu sikap pendirian kita yang tegas tauke-tauke besar dan saudagar-saudagar kaya yang jarang nak bayar cukai penuh, semua kena bayar penuh sekarang.

"Kita tunjukkan kita jangan bertolak ansur, orang bawahan kena bayar cukai, (tetapi) orang kaya, maha kaya cuba mengelak dari membayar cukai (sebelum ini). Kita bagi isyarat dua tiga bulan lalu dan hasil kita melonjak naik tinggi," katanya seperti dipetik, selain menambah rakyat akan mendapat manfaatnya jika pendapatan negara terus bertambah.