Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | NGO syor bekas penagih dilantik timb menteri untuk perangi dadah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Laporan Media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya menumpaskan sindiket dadah terbesar di Sabah yang aktif dalam aktiviti pengedaran ekstasi dan minuman jus yang mengandungi kandungan dadah di pusat hiburan amat mengecewakan Masac.

Laporan Media turut menyatakan kejayaan ini ialah hasil Op Tapis Khas dijalankan bermula 3 Januari 2023 lalu hingga kelmarin dengan 346 sindiket yang membabitkan 1,055 orang berjaya diberkas dengan 19 makmal dadah haram berjaya dibongkar dengan 10 tangkapan ke atas ahli kimia dan juga berjaya merampas sebanyak 26 tan pelbagai jenis dadah dan 5,175 liter pelbagai jenis cecair dadah.

Laporan media juga ada menulis, JSJN turut merampas sebanyak 135 tan daun ketum, 72,584 liter air ketum serta 189 pokok ganja yang membawa kepada nilai rampasan sebanyak RM666.1 juta.

Sepanjang operasi ini dijalankan, seramai 36,655 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah termasuk 4,969 tokandan 1,917 orang yang dikehendaki (wanted person) selain sebanyak 4,633 kilogram dan 19,077.12 liter pelbagai jenis dadah berjaya dirampas dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM40.9 juta.

Media juga ada menghuraikan bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, pelbagai aset sindiket dadah yang bernilai RM154.04 juta disita, manakala sebanyak RM28 juta nilai harta dilucuthak berbanding hanya RM19.15 juta bagi tahun sebelumnya.

Masac berpandangan kejayaan ini merupakan satu usaha murni dan berani PDRM, tetapi dengan jumlah besar sebegini dan kemampuan sedia ada kini pelbagai agensi berkait pemasalahan dadah, Masac merasakan telah sampai waktunya total revamp bagi sistem kawal selia dadah dilaksanakan.

Seterusnya kejayaan pihak berkuasa Australia d merampas 336 kilogram (kg) heroin dianggar bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane pada 13 Mac lalu juga menunjukkan Malaysia kini sama ada mula menjadi tempat pengeluaran dadah secara makmal atau tempat berlakunya persinggahan dadah, mana pun tidak penting, yang utamanya negara kini menjadi sarang penghasilan atau persinggahan dadah.

Tambahan pula dengan laporan media yang menyatakan kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menangkap seramai 1,049 penjawat awam ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah bagi tempoh 3 Januari hingga kelmarin, yakni lebih kurang dalam tempoh tiga bulan sahaja.

Laporan media juga ada menyampaikan maklumat bahawa lima pegawai kanan dan empat anggota JSJN turut ditangkap serta disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 kerana terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah bagi tempoh masa yang singkat ini.

Lebih memilukan pendedahan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay (bakal Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah baru berkuatkuasa 16 April) yahg menyatakan 'gelap mata' dengan kehidupan mewah bakal dikecapi menjadi antara faktor utama ahli sindiket pengedaran dadah meneruskan kegiatan jenayah biarpun menyedari risiko hukuman berat menanti.

Tegas Ayob lagi, syabu yang diseludup ke pasaran gelap negara jiran Indonesia boleh mencecah RM100,000 bagi sekilogram manakala harganya meningkat RM300,000 jika diseludup ke Australia, berbanding pasaran dalam negara, syabu hanya mampu dijual RM36,000 sekilogram menyebabkan sindiket lebih memilih menyeludupnya ke luar negara.

Tambah Ayob lagi di laporan media, tiada bau pelik ketika digunakan berbanding dadah tradisional menyebabkan pengunjung pusat hiburan gemar menggunakan dadah sintetik yang menyebabkan mereka berasa lebih selamat selain mengelak kegiatan penagihan dihidu pihak berkuasa.

Gambar fail.

Perkembangan terkini pelbagai isu dadah termasuk penjawat awam terlibat dadah, isu kontena dadah dari Malaysia ke Australia, isu pelbagai dadah sintetik baru yang semakin digemari terutama golongan muda termasuk remaja termasuk menggunakan pelbagai kaedah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa termasuk mencampurkan dadah dengan serbuk minuman dan dibungkus semula seperti bungkusan minuman biasa.

Masac merasakan telah sampai waktunya Kerajaan menggunakan tenaga pakar bekas pengguna dadah yang telah pulih untuk membantu negara melawan isu permasalahan dadah ini, ia seperti konsep FBI ambil hacker untuk bekerja dengan merkea.

Satu Jabatan baru bertaraf tetap tidak berpencen penjawat awamnya terdiri dari kalangan mereka yang pernah terlibat dengan dadah dan telah pulih diambil bekerja di seluruh negara untuk bersama dengan organisasi berkait permasalahan dadah sedia ada untuk membanteras permasalahan dadah di negara ini.

Jabatan ini akan membantu pembangunan komuniti bebas dadah serta menjalankan pelbagai aktivit berkait pencegahan, pemulihan, advokasi dadah di seluruh negara dengan kesemua perjawatan diambil dari bekas pengguna dadah.

Ketua pengarah jabatan ini diambil dari bekas pengguna dadah yang telah bebas dan juga dilantik sebagai senator di Dewan Negara dan juga sebagai timbalan menteri (tadbir urus dadah negara) untuk membawa mesej dadah ke tempat tertinggi.

Pewakilan dari seorang bekas penagih dadah yang sesuai sebagai timbalan menteri mampu membawa suara ramai pengguna dadah yang telah dikesan - dan pengguna dadah yang belum dikesan di Malaysia ketika ini - yang dianggarkan berjumlah hampir satu juta orang dari keseluruhan penduduk Malaysia seperti yang dilaporkan media dari penyataan ketua pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) beberapa hari yang lalu.

Ini belum lagi termasuk golongan bekas pengguna dadah yang telah pulih yang berkemungkinan juga berjumlah hampir satu juta orang dari yang berjaya dikesan atau yang tak berjaya dikesan.

Jumlah ini belum lagi termasuk jumlah mereka-mereka yang terkesan dengan perihal penagih dadah yang mungkin terdiri daripada isteri, suami, ibu, ayah, saudara, anak, datuk, nenek dan lain-lain yang turut terkesan dengan masalah penagihan ahli keluarga mereka.

Jika jumlah ini diambil kira, kurang-kurangnya timbalan menteri dari bekas penagih dadah ini akan membawa suara dan aspirasi sekurang-kurangnya suku dari jumlah rakyat Malaysia yang terkesan dengan dadah, dan mereka ini merupakan jumlah besar yang akan mengundi di mana-mana Pilihanraya.

Bekas pengguna dadah ini akan mempunyai pengalaman dan maklumat yang lebih baik dari yang tidak pernah mengambil dadah.

Mereka ini akan mempunyai jaringan berkait permasalahan dadah yang lebih baik dan boleh dipertingkatkan lagi kejayaan untuk mengesan pengguna dadah dan juga makmal dadah di seluruh negara dengan lebih cepat, sebelum maklumat disalurkan kepada PDRM, atau kastam, atau marittim.

Jabatan dicadang ini tidak perlu kuasa penguatkuasaan, cukup sekadar fungsi seperti jabatan hal ehwal khas dalam usaha pemerolehan maklumat.

Hanya jauhari yang mengenal manikam, bekas pengguna dadah yang telah pulih mengetahui banyak perkara mengenai dadah.


RAJA AZIZAN SUHAIMI ialah Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (Masac), sebuah gabungan 48 NGO, pusat pemulihan swasta dan penyedia perkhidmatan berkaitan penyalahgunaan bahan dari seluruh negara.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.