Sayap Bersekutu Bersatu gesa Sivakumar bercuti
Sayap Bersekutu Bersatu menggesa V Sivakumar supaya bercuti daripada menggalas tugas sebagai menteri sumber manusia sementara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan rasuah bernilai RM97 juta yang melibatkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing.
Ketua penerangan sayap parti politk itu, S Subramaniam berkata tindakan itu wajar memandangkan dua pegawai kanan yang ditahan oleh SPRM bekerja untuk menteri.
"Laporan media mengatakan setiausaha sulit dan pegawai tugas-tugas khas menteri telah ditahan oleh SPRM. Kedua-dua suspek ini dilantik oleh menteri selepas beliau menjadi menteri.
"Maka, beliau wajar bercuti sehingga SPRM menyelesaikan siasatan ini.
"Mungkin ada konflik kepentingan," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Subramaniam (gambar, atas) mengulas laporan dua pegawai kanan menteri sumber manusia ditahan SPRM.
Selain pegawai kanan menteri, SPRM telah menahan tiga suspek setakat semalam termasuk seorang ahli perniagaan dari Ipoh bagi membantu siasatan kes rasuah berkaitan penggajian pekerja asing.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki telah mengesahkan penahanan itu.
Difahamkan siasatan SPRM tertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya.
Sivakumar yang juga ahli parlimen Batu Gajah sebelum ini berkata dia tidak dapat memberikan sebarang komen lanjut kerana kes berkenaan sedang disiasat pihak berkuasa.
Katanya, dia dan Kementerian Sumber Manusia akan memberi kerjasama penuh kepada agensi siasatan sekiranya diperlukan.
Sementara itu, Subramaniam meminta pendirian DAP mengenai kes ini.
"Saya masih ingat, pada 2017, DAP mendesak menteri sumber manusia ketika itu Richard Riot untuk bercuti berkaitan siasatan SPRM terhadap dakwaan penyelewengan dana RM40 juta Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) melibatkan setiausaha politik menteri.
"Maka, sekarang kita nak lihat apakah pendirian DAP pada kali ini," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai