DAP 'liabiliti' bagi Umno untuk pikat semula undi Melayu - Nur Jazlan
Umno mengingatkan DAP bahawa parti itu juga menjadi liabiliti bagi rakan gabungannya itu dalam usaha memikat semula sokongan pengundi Melayu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Nur Jazlan Mohamed dipetik Utusan Malaysia berkata pakatan dengan DAP akan menjadi cabaran kepada Umno untuk memenangi semula keyakinan orang Melayu, terutama dalam menghadapi pilihan raya negeri akan datang.
Nur Jazlan menjelaskan Umno sememangnya ikhlas dalam menjayakan "kerajaan perpaduan".
Disebabkan itu, Nur Jazlan berkata parti keramat Melayu itu tidak menyuarakan pendapat mereka mengenai perkara terbabit.
"Tetapi, bila kita diam, DAP pula yang keluarkan kenyataan sebegini," kata Nur Jazlan.
Pemimpin kanan Umno itu merujuk kenyataan Naib Pengerusi DAP Perak, Aziz Bari berhubung peranan Umno menarik sokongan orang Melayu masih tidak jelas memandangkan peranan tersebut kini dimainkan oleh Perikatan Nasional (PN).
Menurut Aziz, berdasarkan rekod pilihan raya umum (PRU) ke 15 lalu pada peringkat awalnya undi PN dijangka meleset namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.
Malah kata Aziz lagi, Umno dilihat hanya menumpang kekuatan Pakatan Harapan (PH) kerana kelangsungan parti itu semakin pudar.
Mengulas lanjut komen Aziz itu, Nur Jazlan berkata DAP sepatutnya perlu menghargai usaha Umno dalam membolehkan kerajaan perpaduan dibentuk.
“Untuk keadaan sekarang pun, kita susah nak tarik sokongan Melayu kembali kepada Umno disebabkan DAP sendiri, kerana ramai orang Melayu yang tidak percayakan parti itu.
“Strategi DAP meletakkan orang Melayu sebagai pemimpin parti itu tidak lagi berjaya, jadi mereka perlu juga hargai Umno," kata Nur Jazlan lagi.
Semalam, Aziz (gambar, bawah) dilapor sebagai berkata Umno kini sedang berusaha meneruskan kelangsungan parti itu dan hanya menumpang PH untuk mendapatkan jawatan sahaja bagi membolehkan parti itu terus bergerak.
“Tetapi untuk PRN, peranan Umno masih belum nampak kerana sokongan Melayu kita lihat banyak pergi kepada PN, bukan Umno. Dan pengundi bukan Melayu pula khususnya semua bimbang dengan tindakan ekstrem PN itu.
"Tetapi hikmahnya undi bukan Melayu ‘solid’ kepada PH, jadi peranan Umno itu yang masih kita tidak nampak setakat ini,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh dilapor menegaskan bacaan politik pada PRN nanti tidak boleh mengambil kira rekod PRU15 lalu.
Ini kerana jelasnya, politik sekarang sentiasa berubah, sekali gus dia optimis Umno mampu menarik kembali sokongan orang Melayu dan peroleh kemenangan pada PRN kali ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai