Skip to main
Logo Malaysiakini

DAP: Pembahagian kerusi untuk PRN perlu ikut prinsip ditetapkan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pembahagian kerusi DUN di antara PHdan BN bagi PRN di enam buah negeri kelak perlu diputuskan berdasarkan prinsip yang dipersetujui menerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata antara prinsip dan parameter yang telah dipersetujui berkenaan adalah kerusi yang dimenangi oleh parti tertentu akan terus ditandingi parti tersebut dalam PRN akan datang.

“Apabila kita memasuki apa-apa rundingan kerusi sudah tentu ada parameter, ada prinsip yang mesti dipersetujui iaitu kerusi penyandang akan terus disandang parti yang menang contohnya kalau kerusi itu dimenangi BN, takkan kita nak minta, sudah tentu akan menimbulkan masalah.

“Untuk kerusi yang tidak dimenangi sama ada PH atau BN, maka kita berunding umpama di Kedah, Terengganu dan Kelantan, sudah tentu kena berunding antara PH dan BN, itu dipersetujui,” katanya selepas merasmikan Pemukiman Persediaan PRN DAP Negeri Sembilan, di Seremban, hari ini.

Loke yang juga pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata demikian kepada pemberita mengulas mengenai hasrat BN Negeri Sembilan yang meminta tambahan dua kerusi daripada PH dalam PRN nanti bertujuan mendapatkan keseimbangan dalam setiap DUN.

Loke turut berkata soal pembahagian kerusi antara PH dan BN di enam negeri bagi menghadapi PRN juga tidak perlu dipolemikkan dan segala hasrat atau pandangan mana-mana pihak perlu dirujuk kepasa pucuk pimpinan kerajaan perpaduan.

“Kita hormati pandangan, semua orang boleh bagi pandangan masing-masing, setiap parti ada hasrat dia tetapi akhirnya saya katakan keputusan mesti berdasarkan kepada prinsip secara bersama,” katanya.

Dalam pada itu, dia berkata tidak timbul soal berkecil hati dalam politik dan semua pihak perlu berlapang dada untuk sebarang keputusan yang akan diputuskan pimpinan pusat.

“Pucuk pimpinan parti masing-masing akan memahami keadaan ini, kita bercakap atas beberapa prinsip dan parameter, jadi kalau tak langgar beberapa prinsip itu ia tidak menjadi masalah dan tidak timbul soal kecil hati,” katanya.

Sementara itu, ketika berucap pada program itu, Loke yang juga ahli parlimen Seremban berkata gabungan PH dan BN perlu mencapai kesepakatan dan persefahaman untuk mengelak berlakunya pertindihan kerusi dalam PRN selain perlu ada kerjasama antara satu sama lain dalam PRN nanti.

-Bernama