ULASAN | Dendang perantau balik kampung menjelang PRN
ULASAN | Menjelang sambutan Aidilfitri beberapa hari lagi, mari kita mulakan tulisan ini dengan mengenang salah satu lagu malar segar Allahyarham P Ramlee, iaitu Dendang Perantau.
Lagu hari raya ilham anak Pulau Pinang itu memang diketahui ramai selepas ia seakan-akan dendangan wajib buat sesiapa saja yang mahu merasakan kemanisan hari raya.
Begitulah suasana di negara ini setiap kali menjelang Aidilfitri sejak lebih enam dekad. Aidilfitri tidak akan lengkap tanpa Dendang Perantau yang liriknya dikarang oleh S Sudarmaji itu.
Ada tiga lagi lagu hari raya dicipta P Ramlee iaitu Suara Takbir dan Selamat Hari Raya yang dipopularkan oleh Ahmad Jais. Manusia Miskin Kaya merupakan lagu hari raya pertama ciptaan P Ramlee yang dinyanyikan oleh Nona Asiah pada awal 1950-an.
Generasi selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah makhluk yang sebahagian besar daripadanya merantau dari tanah kelahiran ke daerah lain untuk mencari kehidupan lebih baik. Kehadiran Syawal kemudian menggamit naluri masing-masing untuk pulang ke kampung halaman kerana di sanalah sejarah kehidupan bermula.
Pedulilah walau betapa hebatnya kehidupan di perantauan, kampung halaman mempunyai tempat yang amat lunak dalam sanubari.
Dendang Perantau - dan sebahagian besar lagu klasik raya - dicipta sebelum kerajaan Umno mendapat ilham memperkenalkan DEB. Ilham itu tercipta selepas tragedi 13 Mei 1969.
Hidup berdagang adat lelaki
Rusuhan bukan perayaan dan bukan juga lagu raya. Rusuhan mendorong Umno sedar Melayu perlukan pembelaan dan mereka perlu menjadi perantau untuk melaksanakan agenda nasional.
P Ramlee adalah ikon nasional yang klasik dan bertaraf legenda. Apabila nafasnya terhenti pada 1973 dia 'tidak mati' bersama tertanamnya jasad itu. Dia tetap 'hidup' kerana hasil seni dan pemikirannya terus merentasi sempadan zaman dan massa.
P Ramlee pernah berseloroh kepada media dengan berkata: "Apabila umat Islam menyambut hari raya bererti menyambut hari lahir saya juga."
Seniman itu dilahirkan pada 22 Mac 1929 dan dikaitkan dengan 1 Syawal 1346 Hijrah. Sejauh mana ketepatan Syawal dengan kelahiran P Ramlee masih misteri.
Namun P Ramlee membuktikan lagu-lagu Aidilfitri ciptaannya 'berhantu' seolah-olah ia ada kaitan dengan peribadi semua orang. Dia juga bersebati untuk menjadi sebahagian daripada suasana hari raya sehingga kini.
Tanpa masa lalu, manusia tidak akan memperoleh masa kini dan hari depan. Hidup berdagang adalah warisan kejantanan seseorang lelaki.
Lelaki Bugis terkenal kerana pelayaran dan penjelajahan merentasi Selat Makassar. Anak Jawa terkenal kerana kerajinan dan kesungguhan ikhtiar di perantauan. Lelaki asal Minangkabau akan dipandang hina jika tidak berdagang kerana tanah adat memerlukan jejaka perkasa.
“Anak lelaki tak boleh dihiraukan panjang, hidupnya ialah buat berjuang, kalau perahunya telah dikayuhnya ke tengah, dia tak boleh surut palang, meskipun bagaimana besar gelombang. Biarkan kemudi patah, biarkan layar robek, itu lebih mulia daripada membalik haluan pulang.”
- Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck
Sejarah peradaban Melayu bermula dengan pelayaran dan mencari kehidupan lebih baik di luar lingkungan sendiri. Membina kehidupan dan menambah zuriat adalah tradisi yang akhirnya membentuk identiti baru sebagai perantau.
Pun begitu kehebatan seseorang di perantauan akan tercabar apabila takbir Aidilfitri bergema. Hati akan bergelora mengajak pulang ke kampung menjelang Syawal.
Tradisi balik kampung adalah kemuncak manifestasi kerinduan kekeluargaan dan tanah kelahiran.
'Raya' yang lebih besar
Dianggarkan dua juta kenderaan akan berjemaah di jalan raya menuju pelbagai destinasi dengan mimpi dan harapan yang tidak jauh berbeza. Orang tua di kampung pula menanti anak, menantu dan cucu kembali dengan selamat walaupun kehadiran mereka hanya meriuhkan perdesaan untuk seketika.
Perantau pula pulang dengan membawa pelbagai cerita - atau dongeng - yang dipunggah dari kota. Cuma kisah duka dan kepahitan di perantauan jarang diceritakan kerana lebaran adalah detik untuk berkongsi kemeriahan.
Tahun ini Aidilfitri lebih istimewa kerana ia berlangsung kira-kira dua bulan sebelum pilihan raya negeri (PRN). Perantau dari Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan wajib berdepan dengan kerajaan negeri atau kluster kepartian.
Hari raya bukan sekadar masa untuk bersalam dan ziarah-menziarahi. Lebaran era kerajaan perpaduan Madani adalah masa untuk bercerita tentang politik dan kepartian kerana itulah topik paling memberahikan dalam kalangan bani Melayu.
Perantau harus bersedia berdepan dengan majlis politik yang mengambil kesempatan kedatangan Syawal untuk berkempen dan memancing undi.
Bagi kebanyakan orang Kelantan, mereka mempunyai tiga hari raya untuk menggamit pulang perantau ke kampung halaman. Ia bukan sekadar Aidilfitri dan Aidiladha, malah 'raya' yang lebih besar ialah pilihan raya.
Jika hari raya biasa mereka balik kampung untuk meraikan lebaran, pilihan raya pula adalah masa untuk mengundi dan melupakan seketika nikmat hidup lebih baik dan selesa di perantauan.
Politik dan bani Melayu sentiasa menjadi topik menarik. Jangan terperanjat jika Syawal tahun ini adalah masa untuk lebih bercerita tentang politik walaupun ia tidak pernah dianjurkan P Ramlee melalui lagu-lagunya sejak puluhan tahun silam.
Pada 1973 - 1974 Umno dan BN melakukan kecuaian semasa membentuk kerajaan campuran peringkat persekutuan dengan memberi jawatan Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah kepada Presiden PAS ketika itu, Asri Muda.
Asri menggunakan jawatannya dengan membawa ahli PAS dari Kelantan ke pelbagai tanah rancangan Felda di seluruh negara. Justeru sejak 1974 pengaruh PAS membiak secara evolusi di tanah-tanah rancangan melalui peneroka.
Kader PAS berkembang dengan pesat di kawasan majoriti Melayu sehingga kini dan terbukti pada PRU15 lalu PAS menggantikan suara Umno di kawasan Melayu.
Sejarah bermula dari gerakan evolusi yang membantu persekitaran pemikiran masa kini. Aidilfitri menjelang untuk kita berfikir dan menikmati kehidupan sebagai perantau di maya ini.
Politik, budaya dan resam balik kampung bukan tercipta dengan sendiri.
Benarlah kata P Ramlee: Di hari raya, terkenang daku kepada si dia. Ya 'dia' yang bukan milik kita lagi!
IMLAN ADABI adalah penyair yang merakam kehidupan tanpa kluster dan kasta.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi yang tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai