Skip to main
Logo Malaysiakini

Subsidi minyak masak: KSU KPDN nafi disiasat SPRM - cuma dipanggil saja

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Azman Mohd Yusof mengesahkan dia telah dipanggil SPRM berhubung dakwaan kementerian itu berbelanja secara berlebihan untuk subsidi minyak masak tahun lepas.

Pun begitu, katanya, dia tidak disiasat berhubung perkara itu tetapi hanya memberi keterangan mengenai proses pengagihan subsidi minyak masak.

"Memang sudah dipanggil tahun lepas lagi dan ia bukannya dipanggil satu kes.

“Sebaliknya, dipanggil hanya untuk SPRM mendapatkan keterangan tentang proses yang berlaku berkaitan pengagihan minyak masak bersubsidi.

"Saya tak tahu mengapa berita mengenai isu ini dikeluarkan kembali, sedangkan berdasarkan bacaan saya, seolah-olah ada butiran dalam laporan berita itu tidak sepatutnya keluar kerana di peringkat rahsia, memandangkan itu maklumat berkait dengan siasatan yang dari situ juga mungkin berlakunya ketirisan.

"Saya sememangnya sedia untuk memberikan kerjasama dengan sesiapa sekalipun termasuk kepada Bukit Aman, memandangkan setakat ini saya juga menerima kerjasama yang baik daripada mereka dengan membantu saya membongkar banyak kes penyeludupan, khususnya minyak masak dan diesel," katanya seperti dipetik Berita Harian malam tadi.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Azman pada tahun lepas telah meluluskan subsidi minyak masak berjumlah kira-kira RM9 juta kepada lebih 20 syarikat walaupun kuota itu telahpun habis.

Melalui dua surat yang dilihat oleh Malaysiakini, pejabat Azman memberi kelulusan kepada dua daripada syarikat ini pada 21 Nov tahun lepas.

Pejabat Azman berkata kerajaan akan membekalkan dua syarikat itu dengan 150 tan minyak masak bersubsidi sebulan selama lima tahun, menurut permohonan yang dibuat firma berkenaan pada April tahun itu.

Surat-surat itu juga menunjukkan kedua-dua syarikat berkongsi alamat yang sama di Kuala Lumpur.

Untuk konteks, pilihan raya umum ke-15 diadakan pada 19 Nov tahun lalu tetapi Anwar Ibrahim tidak mengangkat sumpah sebagai perdana menteri sehingga 24 Nov.

Selepas pembentukan kabinet, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) dijenamakan semula sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), dengan Salahuddin Ayub sebagai menterinya.

Sumber memberitahu insiden berhubung kelulusan subsidi minyak masak itu telah menimbulkan syak wasangka – memandangkan ia berlaku ketika peralihan kuasa, dengan lebihan perbelanjaan kuota dan kedua-dua syarikat berkongsi alamat yang sama.

Sumber lain memberitahu Malaysiakini bahawa Azman telah melebihi kuota sebanyak 5,439 tan pada November tahun lepas.


BACA BERKAITAN:

Minyak masak bersubsidi: Pegawai KPDNHEP didakwa ‘lebih belanja’ RM9j


Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga sejak itu menafikan dakwaan bahawa ia terlebih berbelanja untuk subsidi minyak masak ntuk tahun lepas.

Kementerian itu menjelaskan bahawa perbelanjaan bagi komoditi itu hanya mencecah julat antara 88 dan 99 peratus.

Bagaimanapun, atas tujuan operasi, KPDN berkata kerajaan perlu meluluskan sebut harga tambahan bagi memastikan bekalan minyak masak paket mencukupi di pasaran.

Dalam perkembangan berkaitan, Azman berkata dia meluluskan kuota tambahan itu bagi memastikan bekalan mencukupi dalam pasaran yang selaras dengan undang-undang.

"Contohnya dalam undang-undang, ada kuasa-kuasa yang diberikan kepada pegawai-pegawai pembekal, iaitu KSU (Ketua Setiausaha) untuk membuat keputusan dan selalunya KSU akan mendapat pandangan terlebih dahulu daripada pegawai kanan, melalui jawatankuasa ataupun melalui kertas-kertas khas yang diangkat.

"Itu proses yang diberikan di bawah peruntukan undang-undang.

"Jadi, tidak ada pun mana-mana keputusan dibuat dengan melanggar mana-mana peraturan undang-undang," katanya.

Sebaliknya, diapercaya isu itu dibangkitkan semula berikutan rasa tidak puas hati terhadap arahan baru yang diberikan kepada pegawai di kementerian untuk menyemak semula peraturan lama, proses dan prosedur operasi standard yang dilihat tidak lagi sesuai.