Skip to main
Logo Malaysiakini

Bagaimana hidup penduduk 'lahir dan besar' di Malaysia terjejas tanpa IC?

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Nasib wanita yang menetap di Sarawak, Lina Samuel menarik perhatian ramai baru-baru ini bahawa terdapat beribu-ribu penduduk hidup di Malaysia tanpa mempunyai dokumen pengenalan rasmi kewarganegaraan.

“Di sesetengah kawasan, pendaftaran kelahiran mungkin tidak tersedia secara meluas atau didapati.

"(Ini) menyukarkan individu mendapatkan dokumentasi yang diperlukan untuk membuktikan kewarganegaraan,” kata pengasas bersama Yayasan Chow Kit (YCK), Hartini Zainudin (gambar, bawah) kepada Malaysiakini.

Menurutnya, ketiadaan kewarganegaraan di Malaysia lebih rumit dengan hakikatnya sesetengah kumpulan penduduk orang asal mungkin mempunyai adat dan peraturan mereka sendiri yang tidak selaras dengan undang-undang negara.

Sebagai contoh, Hartini berkata bagi seseorang yang tinggal dalam komuniti kecil dan terpencil di sempadan Indonesia atau Thailand, mereka mudah terpinggir melalui sistem birokrasi jika tiada dorongan untuk memudahkan pendaftaran kewarganegaraan mereka.

Komuniti terpencil seperti Lun Bawang di Sarawak atau Orang Asli Bateq di Semenanjung antara golongan yang paling berkemungkinan termasuk dalam kategori tersebut.

“Terdapat dasar kerajaan yang menyekat akses kepada kewarganegaraan, seperti undang-undang yang memerlukan bukti keturunan atau pemastautin yang mungkin sukar diperoleh.

"Dasar ini selalunya boleh menjejaskan kumpulan terpinggir secara tidak seimbang - meneruskan kitaran (golongan) tanpa warganegara,” tambah Hartini.

Ramai masih mohon

Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa dalam kalangan ramai rakyat Malaysia yang memohon kewarganegaraan, terdapat kira-kira 3,000 permohonan daripada mereka yang lahir sebelum merdeka.

"Ramai daripada mereka sudah berusia 70an dan 80an," katanya.

Menurut Saifuddin, jumlah keseluruhan permohonan kerakyatan yang belum selesai ialah sebanyak 133,436 manakala sebanyak 6,079 permohonan telah diproses setakat tahun ini.

Katanya, Kementerian Dalam Negeri merancang untuk meluluskan sekurang-kurangnya 10,000 permohonan tahun ini.

Proses rumit dapatkan kewarganegaraan

Sementara itu, Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia, Tijah Yok Chopil (gambar, bawah) berkongsi proses rumit untuk Orang Asli di semenanjung mendapatkan dokumen kerakyatan mereka.

“Ada kes di Johor di mana seorang bapa tidak memenuhi prosedur bagi mendapatkan MyKad untuk anaknya dan apabila anak itu sudah dewasa, dia cuba pergi ke JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) untuk mendapatkan MyKadnya.

“Pada masa itu, bapanya telah pun meninggal dunia. JPN masih mahu mengambil gambar bapanya walaupun dia mempunyai ibu, adik beradik dan saudara mara lain,” kata Tijah.

Menurut Tijah, penduduk desa dan pedalaman juga menghadapi kesukaran untuk datang ke pejabat JPN kerana masalah pengangkutan.

Justeru, dia mencadangkan agar kerajaan dan JPN menjalankan operasi bergerak setiap tahun di kawasan terpencil bagi membantu individu tanpa dokumen sah mendapatkan kerakyatan mereka.

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Noor Aziah Mohd Awal memberitahu Malaysiakini bahawa tanpa dokumentasi yang betul dan status undang-undang, individu tanpa kerakyatan mungkin menghadapi kesukaran untuk mengakses keperluan.

Ini termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan, pemilikan tanah dan peluang pekerjaan. Individu tersebut juga mungkin berisiko dieksploitasi dan didera.

“Orang tanpa kerakyatan tidak mempunyai hak seperti warganegara lain. Mereka dianggap bukan warganegara yang perlu membayar untuk pendidikan dan rawatan perubatan dan tidak boleh memiliki sebarang harta.

"Dan mereka tidak boleh membuka akaun bank dan jika mereka bekerja, mereka mungkin dieksploitasi oleh orang yang tidak bertanggungjawab," kata Aziah.

Justeru, Aziah menggesa kerajaan melaksanakan dasar yang sewajarnya bagi menangani keadaan ini.

Dia berkata sistem pendaftaran untuk individu tanpa dokumen dan tanpa kerakyatan boleh memberi mereka akses kepada pendidikan formal dan pekerjaan yang stabil.

"Mereka akhirnya harus diberikan kerakyatan, terutamanya jika mereka tidak pernah meninggalkan negara ini," tegasnya.

[Baca berita penuh]