Skip to main
Logo Malaysiakini

Saifuddin 'hairan' dengan kenyataan Waytha

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kenyataan P Waytha Moorthy mempertikai jawapan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dalam Dewan Rakyat berhubung wartawan Pakistan Syed Fawad Ali Shah yang dihantar pulang ke negara asalnya menimbulkan tanda tanya.

"Saya hairan kerana sebelum ini, saya telah maklumkan kepada Waytha semasa dia jumpa saya kedudukan sebenar yang berlaku.

"Saya juga telah berkongsi kronologi kes ini dengan beliau.

"Malah, Waytha berterima kasih kepada saya dan menawarkan kerjasama bagaimana kes seperti ini dikendalikan," kata Saifuddin kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Saifuddin diminta mengulas kenyataan Waytha yang bertindak sebagai peguam kepada keluarga Fawad, mendakwa Saifuddin telah dikelirukan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui jawapan itu bagi membenarkan penghantaran pulang terhadap Fawad.

Waytha juga mendakwa Jabatan Imigresen, yang ketika itu diketuai Ketua Pengarahnya, Khairul Dzaimee Daud, telah bersubahat dengan agensi Inter-Services Intelligence (ISI) Pakistan untuk menangkap dan menghantar pulang wartawan itu.

"Tanya Waytha bila Fawad ditangkap dan bila dia dihantar pulang? Waytha akui semua itu berlaku sebelum saya menjadi menteri.

"Waytha juga memberitahu saya keadaan terkini Fawad di sana. Maka, saya hairan kenapa Waytha kritik saya terhadap insiden yang berlaku sebelum saya menjadi menteri," kata Saifuddin.

Saifuddin sebelum ini menjawab soalan dari Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mengatakan Fawad (gambar, atas) ditangkap kerana tidak mempunyai pas masuk yang sah ke Malaysia sebelum dia dihantar pulang ke negara asalnya pada bulan Ogos tahun lalu.

Sebelum ini, Saifuddin dilaporkan berkata Syed Fawad, 41 tahun, adalah seorang pelarian di Malaysia sebelum dihantar pulang atas permintaan kerajaan Pakistan.

Bulan lalu, Waytha dipetik sebagai berkata bahawa wartawan itu memberitahu isterinya bahawa dia diculik oleh agensi perisikan Pakistan dari Malaysia.

Pada Mac tahun ini, dilaporkan Syed Fawad telah ditemui di penjara di Pakistan.

‘Bekas polis banyak tulis’

Sebelum ini, Saifuddin pernah berkata bahawa terdapat dua versi berlainan berhubung identiti Syed Fawad.

"(Melalui) media kita kenali beliau sebagai wartawan. Tapi, versi rasmi dari Pakistan beliau bekas anggota polis yang ada beberapa kes disiplin polis.

"Ini saya petik dari sumber kerajaan Pakistan yang dihantar kepada kita. Tapi, walaupun bekas polis yang ada kes, beliau ada keupayaan menulis yang baik. Jadi, banyak tulis dalam tulisan yang kritik kerajaan.

"Ertinya, beliau digambarkan sebagai seorang wartawan. Tapi, kalau ikut rekod rasmi pernah jadi anggota polis di Pakistan," katanya.