Skip to main
Logo Malaysiakini

Itu harga tiket kelas perniagaan bukan ekonomi - Loke nafi dakwaan Wee

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menafikan dakwaan Presiden MCA Wee Ka Siong mengenai tiket penerbangan yang terlalu tinggi dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sabah semasa musim perayaan Aidilfitri.

Wee sebelum ini mendakwa harga tiket kapal terbang MAS dari Kuala Lumpur ke Tawau mencecah RM3,138 pada 20 April lalu.

"Saya telah menghubungi Group CEO Malaysia Airlines (MAB), Captain Izham dan mengesahkan semua tiket kelas ekonomi untuk penerbangan KL-Tawau pada hari tersebut telah habis dijual dan tiket yang tinggal hanyalah kelas perniagaan.

"Beliau juga mengesahkan harga tiket tersebut bukan untuk kelas ekonomi tetapi ialah kelas perniagaan (Business Class) dan harga tiket tersebut ialah RM2,863.40 dan bukannya RM3,138.

"Ini fakta yang perlu diperbetulkan. Sebagai mantan menteri pengangkutan, saya yakin YB Wee faham perbezaan antara tiket Kelas Perniagaan dan Kelas Ekonomi," kata Loke pada satu kenyataan hari ini.

Pun begitu, Loke berterima kasih kepada Wee atas keprihatinannya terhadap harga tambang pesawat yang mahal serta kapasiti penerbangannya.

Menteri pengangkutan itu berkata dia akan mengadakan sidang media pada tengah hari esok bagi menangani penambahan penerbangan tambahan bagi musim Hari Raya tahun ini.

Sebelum ini, Wee telah menyiarkan tangkap layar di Facebooknya yang menunjukkan tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau berharga RM3,138.

Dia berkata syarikat penerbangan tidak mempunyai alasan untuk tidak menambah kekerapan penerbangan selagi ada kapasiti, lebih-lebih lagi kini muatan penumpang tidak lagi dihadkan seperti ketika kemuncak pandemik Covid-19.

Wee juga berkata dia menjangkakan jawapan standard kerajaan adalah 'dasar kerajaan tidak mengawal tambang penerbangan' kerana 'dynamic pricing mechanism' (mekanisme penetapan harga dinamik).

"Apa pun, tak kira zaman siapa memerintah, acap kali Kementerian Pengangkutan (MOT) menjawab sebegitu, rakyat sukar menerima jawapan standard tersebut," kata bekas menteri pengangkutan itu.

Semakan Malaysiakini di laman web AirAsia – yang turut memaparkan keputusan untuk penerbangan MAS – untuk laluan terus yang sama menunjukkan RM3,138 untuk beberapa penerbangan pada 20 April, dengan RM2,222 harga terendah.

Bagaimanapun, apabila disemak di laman web MAS dengan parameter yang sama, ia hanya menunjukkan keputusan untuk tiket kelas perniagaan bermula daripada RM2,863.37.

Dalam maklum balas segera kepada Loke, Wee berkata dia menyemak beberapa kali untuk memastikan harga RM3,138 yang dilihatnya adalah untuk tiket kelas ekonomi.

Wee berkata, dia juga telah meminta tiga pembantunya menyemak hari ini mengenai permohonan yang sama digunakan oleh beberapa pengadu dari Tawau malam tadi dan mereka semua mendapat keputusan yang sama.

“Saya bercakap berdasarkan fakta. Sekiranya maklumat mengenai permohonan itu tidak tepat, sila ambil tindakan segera untuk melindungi pengguna,” katanya.