Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tanah kesultanan' bukan penyelesaian isu tanah Orang Asli Johor - CAP

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyokong kumpulan Orang Asli Johor yang menolak cadangan untuk menukar tanah mereka kepada "tanah kesultanan".

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata penyelesaian lain diperlukan untuk menangani isu yang dihadapi.

“Cadangan (tanah kesultanan) ini bukanlah penyelesaian terbaik kerana sudah ada beberapa akta yang bertujuan untuk melindungi hutan simpan kekal dan hak Orang Asli di negeri itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohideen (gambar atas) turut menyokong pandangan Pengerusi Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ), Dolah Tekoi bahawa tidak ada keperluan untuk tanah itu ditukar kepada tanah kesultanan kerana ia dilindungi oleh Akta Orang Asli dan Kanun Tanah Negara - undang-undang yang terpakai di seluruh negara.

Pada 16 Mac lalu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa kerajaan negeri Johor mengklasifikasikan semua penempatan dan rizab Orang Asli di negeri itu sebagai 'tanah kesultanan' bagi mengelak tanah itu disalahgunakan.

Sultan Ibrahim bertitah bahawa ia perlu kerana ada orang Asli yang menjadikan hutan simpan negeri sebagai ladang kelapa sawit dan getah berskala besar.

Rizab Orang Asli dilindungi di bawah Akta Orang Asli 1954, yang menyatakan bahawa tanah tersebut tidak boleh diberi milik atau dilupuskan, kecuali untuk Orang Asli yang tinggal di atas tanah tersebut.

Kerajaan negeri, bagaimanapun, boleh membatalkan status tanah tersebut.

Sementara itu, di bawah Seksyen 2 Enakmen Tanah Kesultanan Johor, tanah yang diklasifikasikan sebagai 'tanah kesultanan' adalah milik sultan dan tidak dianggap sebagai hak milik negeri.

Enakmen itu juga memperuntukkan bahawa tiada bahagian 'tanah kesultanan' boleh dijual, dipajak, atau dilupuskan kecuali dengan kebenaran bertulis sultan.

Dua minggu lalu, Jabatan Perhutanan Johor telah mengesan 10 hutan simpan kekal yang diteroka secara haram - didakwa oleh Orang Asli dan orang luar.

Mengulas mengenai perkara ini, Mohideen berkata ia membimbangkan tetapi mempersoalkan sama ada ia berpunca daripada isu penguatkuasaan.

“Pencerobohan haram hutan simpan kekal mungkin berpunca daripada kekurangan penguatkuasaan dan kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang, yang perlu dipertingkatkan dan dikuatkuasakan dengan tegas oleh kerajaan,” katanya.

Mohideen juga menggesa SPRM menyiasat jika ada pihak luar yang terlibat dalam pencerobohan tersebut.