Skip to main
Logo Malaysiakini

Cuti umum tambahan perayaan Aidifitri

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan hari ini bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan sempena Hari Raya Aidilfitri, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ini bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya untuk sambutan hari raya dan pulang ke kampung halaman serta meluangkan lebih banyak masa dan kesempatan untuk menyambut Aidilfitri.

"Sekiranya, 1 Syawal jatuh pada hari Jumaat 21 April, maka kerajaan akan menetapkan hari Isnin 24 April sebagai kelepasan am berdasarkan Seksyen 8 Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Walaubagaimanapun, andai kata tarikh 1 Syawal jatuh pada hari Sabtu 22 April, yang kini kemungkinan besar, maka kerajaan hari Jumaat 21 April sebagai hari kelepasan am tambahan," katanya.

Tambahnya, Kerajaan Sabah dan Sarawak boleh mengistiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut ordinan hari kelepasan am masing-masing.

Pengumuman rasmi berhubung tarikh 1 Syawal 1444H untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri akan dibuat pada Khamis, 20 April oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

Sementara itu, perdana menteri berkata Jabatan Penjara akan melaksanakan pelepasan Orang Bebas Berlesen (OBB) di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan MADANI (Kepulangan Yang Dinanti) sempena sambutan Syawal ini.

Langkah itu, kata Anwar untuk memberi peluang buat penghuni penjara beragama Islam merayakan Aidilfitri bersama keluarga tercinta selain penghuni agama lain juga berpeluang mengeratkan hubungan kekeluargaan.

"Pelepasan OBB ini dilaksanakan di seluruh institusi Penjara Malaysia melibatkan pelepasan lebih 1,000 OBB sepanjang bulan Ramadan dan Syawal," katanya.