Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ cadang Malaysia eksport ketum ke AS

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Malaysia wajar mempertimbangkan untuk mengeksport daun ketum, yang penjualan dan penggunaannya dilarang di sini, ke Amerika Syarikat, kata bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini.

Bercakap pada siaran podcast berjudul 'Keluar Sekejap', Khairy berkata ketum merupakan tumbuhan yang asli di Malaysia dan sumber itu tidak boleh dipersiakan begitu sahaja.

"Ini bukan cadangan kita nak halalkan atau benar penggunaan ketum di negara kita. Ketum masih tidak dibenarkan.

"Tetapi saya nak selesaikan satu masalah yang rumit ini. Saya tahu bahawa ada ketum di bahagian utara negara kita dan saya tahu bahawa ada sesetengah negara yang benarkan penjualan ketum.

"Sebagai contoh, ketum di Amerika Syarikat adalah industri bernilai AS$1 bilion sekarang...

"Cadangan saya Shahril, ketum adalah benda yang asli, pokok pribumi kepada Malaysia, kita tidak bolehjual di malaysia, tak boleh guna di Malaysia kerana di Malaysia KKM kata ketum ini tidak boleh digunakan sebab tiada bukti dan boleh mengkhayalkan

"Tapi kalau negara lain menggunakan ketum ni, kenapa tidak kita eksport," kata Khairy kepada pengacara bersama acara Shahril Hamdan.

Perbincangan ini disiarkan di saluran You Tube Keluar Sekejap.

Ketum diharamkan oleh Kementerian Kesihatan kerana mengandungi bahan alkaloid psikoaktif dan didakwa masih belum terbukti secara saintifik berguna sebagai ubat di Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai cadangannya itu, Khairy berkata kerajaan boleh mengenakan kawalan eksport yang ketat ke atas keseluruhan proses, daripada penanaman pokok ketum sehinggalah produk akhirnya dihantar ke luar negara.

Sebagai contoh, dia berkata, kerajaan boleh menubuhkan Lembaga Ketum Negara dan menetapkannya sebagai agensi tunggal yang dibenarkan membeli ketum daripada pekebun kecil dan memproses tumbuhan itu.

Pihak polis dan kastam juga boleh memantau dan mengelakkan produk daripada jatuh ke tangan pihak yang salah.

Gambar fail, tertuduh kes ketum.

"Pekebun kecil ketum daripada kena tangkap dengan polis, mereka boleh jual ketum mereka dan dapat pendapatan seribu, dua ribu setiap bulan menjual ketum," katanya.

"Tiada kata putus soal ketum ini, cuma saya melihat dari segi sains dia, negara lain dah terima, negara kita belum lagi terima.

"Benda tu dah ada, dah tumbuh, dah wujud, kenapa kita tidak keluarkan satu kerangka yang terhad yang terkawal dengan polis, dengan kastam, semua, supaya kita dapat eksport benda tu," kata Khairy yang juga bekas menteri sains dan teknologi.