Skip to main
Logo Malaysiakini

Ramanan dilantik pengerusi JK Khas Mitra

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Ahli Parlimen Sungai Buloh R Ramanan dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Ketika dihubungi Malaysiakini, pemimpin PKR itu mengesahkan pelantikannya.

"Ya, saya dilantik sebagai pengerusi JK Khas Mitra bersama-sama empat AJK yang lain yang baru dilantik.

"Esok mesyuarat pertama akan diadakan bersama AJK," katanya.

Antara empat AJK yang dilantik ialah Senator Sivarraajh Chandran (MIC), Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau (DAP), Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran (PKR) dan Ketua Pengarah Mitra K Raveendran Nair.

Mitra, dilancarkan pada 2013 oleh bekas perdana menteri Najib Razak, pada mulanya dikenali sebagai Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (Sedic).

Penubuhannya bertujuan meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah dalam kalangan masyarakat India.

Sedic dibubarkan apabila kerajaan BN tumbang pada pilihan raya umum ke-14 dan kemudiannya dihidupkan semula sebagai Mitra ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Selepas kerajaan PH tumbang, Mitra diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan.

Pada awal 2021, isu dana Mitra menjadi tumpuan berikutan dakwaan salah guna peruntukan melibatkan beratus juta ringgit.

Selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, Mitra diletak semula di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Perdana Menteri Anwar Ibrahim memperuntukkan dana sebanyak RM100 juta dalam Belanjawan 2024.