Skip to main
Logo Malaysiakini

Lebih RM400 juta peruntukan tahunan Marris untuk Pahang - PM

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Lebih RM400 juta daripada RM5 bilion peruntukan tahunan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) diperuntukkan kepada Pahang bagi memastikan jalan negeri berada dalam keadaan baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata keadaan jalan di Pahang antara perkara yang dibangkitkan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Mesyuarat Kewangan Negara di Putrajaya pagi tadi, kerana keadaan jalan yang berlubang berisiko menyebabkan kemalangan jalan raya.

Selain itu, Anwar memaklumkan sebahagian daripada peruntukan keseluruhan penyelenggaraan berkala turapan jalan Persekutuan yang meningkat kepada RM1 bilion berbanding RM750 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023, juga akan dikhususkan untuk negeri Pahang.

"Kalau dahulu jalan negeri teruk dan jalan Persekutuan baik (tetapi) sekarang jalan negeri sudah elok dengan peruntukan Marris dan jalan Persekutuan yang berlubang sana sini.

"Saya dengar dan tambah peruntukan (penyelenggaraan jalan Persekutuan) kepada RM1 bilion untuk baiki jalan-jalan dengan tindakan segera.

"(Tindakan segera) bukan rundingan terus kerana saya tidak setuju kerana banyak songlap (ketirisan), tetapi (menerusi) tender, cepat dan terhad," katanya semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Pahang di Dewan Majlis Bandaraya di Kuantan hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali serta lebih 3,000 pejawat awam Pahang daripada pelbagai agensi dan jabatan.

Anwar berkata tambahan peruntukan penyelenggaraan jalan Persekutuan kepada RM1 bilion itu dapat dilakukan kerana hasil negara melonjak selepas 'orang besar' mula membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Baik pulih sekolah, kuarters kerajaan

"Ini kerana saya beritahu LHDN, saya tidak peduli apa pangkat sekali pun, kamu Tun atau Datuk Seri, jika kamu tidak bayar cukai, akan kena tindakan dan bila hasil meningkat, kita boleh umum projek untuk rakyat," katanya.

Dalam pada itu, perdana menteri berkata kerajaan turut memberi kelonggaran kepada kerajaan Pahang bagi menggunakan peruntukan Marris untuk membaik pulih kemudahan awam yang rosak akibat banjir seperti membeli jambatan panel keluli bermodular atau jambatan bailey.

Ini mengambil kira Pahang antara negeri yang sentiasa dilanda bencana alam itu setiap tahun, yang akan menyebabkan pelbagai kerosakan pada struktur awam.

Selain itu, Anwar juga memberi jaminan keutamaan dalam pelaksanaan projek keperluan rakyat di bawah pentadbirannya iaitu membaik pulih sekolah dan klinik daif serta kuarters kakitangan kerajaan.

Anwar juga mahu supaya kebergantungan kepada khidmat konsultan dikurangkan kerana yakin dengan keupayaan dan kemampuan penjawat awam untuk mengendalikan projek.

"Sikit-sikit konsultan padahal keupayaan penjawat awam terbukti. Sudah ramai yang sudah ada kelulusan dalam kalangan penjawat awam dan lebih baik kita latih dan tentukan dasar kita daripada serah kepada orang asing," katanya sambil menambah ia antara perubahan yang akan dilakukannya secara bersungguh-sungguh.

- Bernama