Karya agung Melayu: Abim ajak anak muda kenali asal-usul
Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) bercadang untuk menarik minat generasi muda terhadap karya-karya agung peradaban Melayu selari dengan saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mempopularkannya.
Presiden Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata karya agung sastera perlu diperkenalkan kepada orang ramai terutamanya generasi muda supaya mereka mendapat pendedahan awal tentang ketamadunan dan warisan kebudayaan Melayu.
“Kita mungkin boleh buat sidang media, perbincangan dan boleh pergi ke kampus universiti untuk memperkenalkan tentang karya-karya agung ini.
“Selain itu, kita juga boleh fokuskan pendedahan kepada pelajar institut bahasa, institut perguruan dan kita akan libatkan juga bakal-bakal guru dan sebagainya,” katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Faisal (gambar, atas), Abim terbuka untuk bekerjasama dengan Yayasan Karyawan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Faisal yang memimpin Abim sejak 2019, menjelaskan karya agung Melayu ini boleh memberi manfaat kepada masyarakat untuk mengetahui tentang sejarah tokoh-tokoh bangsa dan ketamadunan manusia supaya dapat menjadi iktibar ke arah masa depan yang lebih baik.
“Anak muda perlu mengenali asal-usul kerana karya agung ini merupakan terjemahan kepada penulisan ratusan tahun yang berkisahkan tentang tokoh bangsa dan kewujudan ketamadunan yang didirikan berabad lamanya.
“Karya agung ini juga berkaitan dengan pembinaan sesebuah tamadun dan peradaban orang Melayu yang akan memberi peluang untuk dibaca oleh masyarakat,” katanya.
Selain itu, dia juga bercadang untuk mendokumentasikan karya agung dalam bentuk video pendek yang digambarkan secara teliti dan lengkap dengan pengenalan dan juga membuat kandungan yang sesuai dengan minat anak muda.
Faisal berkata Abim mahu memfokuskan karya agung sedia ada seperti Hikayat Merong Mahawangsa dan Hikayat Hang Tuah untuk dijadikan contoh karya yang akan diketengahkan kepada golongan muda.
“Apa yang penting, anak muda akan kenal dan minat kepada karya-karya agung ini jika kita fokuskan kepada tokoh yang dikenali kerana ia lebih dekat dengan jiwa orang muda,” katanya.
Pada 17 April lalu, perdana menteri melancarkan karya agung, Sayr Al-Salikin dan Hikayat Iskandar Zulkarnain di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Pada majlis itu juga, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan RM5 juta untuk memartabat dan mempopularkan karya-karya agung Melayu dan karya-karya Sasterawan Negara.
Hikayat Iskandar Zulkarnain merupakan teks sastera klasik Melayu yang mengolah watak Iskandar Zulkarnain sebagai seorang pahlawan yang mengembangkan agama Nabi Allah Ibrahim.
Susunan teks hikayat ini berdasarkan teks pada micro-card Codex Orientalis 1696, yang diperoleh oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur dari Perpustakaan Universiti Leiden, di Belanda.
Sayr al-Salikin pula sebuah karya agung tasawwuf Nusantara, karya ulama Syeikh Abdul Samad al- Falimbani, seorang ulama besar abad ke-18 M dari Palembang.
Untuk rekod, Sayr al-Salikin fi Ibâdah Rabb al-Alamin (bermakna Jejak Para Salik dalam Menyembah Tuhan Semesta Alam”) merupakan kupasan dalam bahasa Melayu yang diupayakan oleh Syekh Abdul Samad daripada kitab Ihya Ulumuddin, karangan Imam al-Ghazali.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai