Skip to main
Logo Malaysiakini

MB dijangka jumpa ‘Pak Cik Grab viral’ lepas raya

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dijangka bertemu dengan seorang warga emas yang masih bekerja sebagai penghantar makanan yang dikenali sebagai ‘Pak Cik Grab Viral’ selepas sambutan Aidilfitri.

Setiausaha akhbarnya Jay Jay Denis berkata pertemuan dengan dijangka selepas Amirudin pulang daripada menunaikan umrah pada 21 April nanti.

“Mungkin tarikh akan ditetapkan pada hujung minggu ini.

“Dan segala urusan umrah akan dibincangkan ketika pertemuan nanti,” katanya kepada Malaysiakini.

Kelmarin, tersentuh melihat Zulkifli–pak cik tua yang masih bekerja–Amirudin menyatakan hasrat untuk menaja lelaki kira-kira 70-an itu untuk menunaikan ibadah umrah.

Mengumumkan di TikTok, menteri besar berkata dia tersentuh melihat anak jati Selangor itu masih kuat bekerja mencari rezeki walaupun umurnya sudah lanjut.

“Saya ingin menaja pak cik pergi ke Makkah apabila saya pulang pada 21 April nanti.

“Insya-Allah saya akan datang ke sana untuk pastikan untuk penuhi hajat pak cik yang belum dapat dipenuhi,” katanya.

Dia juga berkata dia teringat kepada bapanya Shari Mokhsin yang sudah meninggal dunia.

“Saya selaku menteri besar negeri Selangor teringat ayah saya yang tak sempat untuk kali kedua tunaikan umrah.

“Dan kali ini saya ingin ajak pak cik Zulkifli untuk pergi ke Mekah apabila saya pulang 21 April nanti,” katanya.

Minggu lalu, tular kembali satu video berkenaan seorang warga emas yang masih bekerja sebagai penghantar makanan bermotosikal di sekitar Mont Kiara dan Sri Hartamas di Kuala Lumpur, dengan keadaan terbongkok-bongkok.

Ia sekali gus mengundang perhatian dan simpati orang ramai.