Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pertikaian Loke-Wee bangkitkan isu penerbangan Semenanjung-M'sia Timur'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pertikaian antara Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan bekas menterinya Wee Ka Siong berhubung harga tiket kapal terbang dari Semenanjung ke Malaysia Timur membangkitkan bahawa tiada penyelesaian mudah untuk isu tersebut, kata pakar industri.

Mereka berkata isu ini timbul terutamanya semasa musim cuti perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Krismas serta perayaan tradisional seperti Gawai dan Kaamatan.

Bagaimanapun, mereka tidak bersetuju dengan langkah penetapan harga tetap atau harga siling, kerana syarikat penerbangan perlu menjana keuntungan agar dapat terus beroperasi.

"Tiket penerbangan tertakluk kepada tawaran dan permintaan, ditentukan oleh kuasa pasaran. Jika ia ditetapkan, ia mengganggu pasaran," kata pengasas Endau Analytics Shukor Yusof kepada Malaysiakini.

Bersetuju dengan pandangan itu, Presiden Kesatuan Sekerja Penerbangan yang juga Ketua Perunding Biro Penerbangan Asean Pasifik Ismail Nasaruddin berkata syarikat penerbangan perlu berdasarkan tawaran dan permintaan daripada pengguna.

“Pengguna perlu faham bahawa sebelum mereka membeli (tiket), semuanya perlu teratur.

"Apabila ada permintaan, harga mula beralih. Seperti hotel, mereka menggunakan formula yang sama iaitu mereka yang sanggup membuat tempahan awal, akan membayar tambang lebih murah," katanya.

Tanpa mengira perbezaan pendapat antara Loke dan Wee, harga tiket penerbangan domestik merentasi Laut China Selatan masih boleh dianggap mahal bagi golongan B40 dan M40.

Namun begitu, secara keseluruhannya pilihan perjalanan melalui udara kian meningkat dengan Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad Iskandar Mizal Mahmood hari ini mengumumkan jumlah pergerakan penumpang di Malaysia naik sebanyak 15 peratus, iaitu kepada 6.7 juta penumpang, berbanding bulan sebelumnya.

Ismail menegaskan bahawa tidak semua penerbangan menguntungkan syarikat penerbangan dan, dalam beberapa kes, ia mungkin mengakibatkan kerugian.

“Anda mungkin nampak kapal terbang penuh tetapi harganya murah jadi syarikat penerbangan terpaksa menanggung kos yang mungkin hanya cukup untuk menampung minyak.

"Ini tidak termasuk gaji kru kabin dan penyelenggaraan pesawat. Setiap butiran kecil perlu diteliti," tambahnya.

Pada Disember lalu, Loke berkata kerajaan tiada rancangan untuk mewajibkan harga tiket tetap kerana ia boleh menjejaskan pengguna.

[Baca berita asal]