Skip to main
Logo Malaysiakini

Loke: SPRM tak ada panggil saya untuk beri keterangan

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata SPRM setakat ini tidak memanggilnya untuk memberi keterangan berkaitan siasatan kes kelulusan pekerja asing.

Namun, Loke yang juga menteri pengangkutan berkata dia tidak pasti jika ada pemimpin lain dari parti itu yang telah dipanggil.

"Saya rasa kami belum dipanggil, kami tidak...saya tidak tahu.

"SPRM tidak kata (ia) berkaitan kes yang mana. Saya tidak dipanggil," katanya.

Loke berkata demikian ketika mengulas laporan yang menyatakan lebih ramai yang akan disoal siasat, termasuk seorang ahli politik yang menguruskan soal kewangan partinya, berhubung kes melibatkan seorang menteri kabinet.

Bendahari DAP Fong Kui Loon juga berkata dia belum dipanggil setakat ini.

"Tiada pihak yang hubungi saya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu, laporan Utusan Malaysia yang memetik sumber menyatakan lebih ramai saksi akan dipanggil untuk "mengesan sejumlah besar wang tunai" yang diterima seorang menteri.

Laporan itu tidak menyebut nama menteri tersebut.

SPRM kini sedang menyiasat beberapa pemimpin kanan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar, yang juga timbalan setiausaha agung DAP.

Mereka yang terlibat perlu didakwa

Fong yang merupakan ahli parlimen Bukit Bintang menegaskan mana-mana ahli politik yang terlibat dengan rasuah perlu didakwa dan dihukum.

"Mana-mana ahli parlimen, menteri atau timbalan menteri yang terlibat dalam rasuah perlu didakwa.

Fong Kui Lun

"(SPRM) perlu bertindak dengan saksama dan dakwa sesiapa saja (yang terlibat dalam rasuah). Sumbat mereka dalam penjara," katanya lagi.

Sivakumar dilaporkan telah menggantung tugas dua pegawai kanannya yang disiasat, serta seorang lagi pegawai, susulan siasatan SPRM.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata tiada keperluan untuk Sivakumar mengambil cuti kerana dia belum didakwa.


Laporan tambahan oleh Ng Xiang Yi