Skip to main
Logo Malaysiakini

Kelemahan skim sijil balak bangkitkan isu 'greenwashing'

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pada 2019, tanda-tanda kegiatan pembalakan dilihat berdekatan Kampung Lawai, sebuah perkampungan Orang Asli di Jalong Tinggi, Perak.

Kampung Lawai adalah antara perkampungan Orang Asli dengan kedudukan paling tinggi di kawasan itu, dengan altitud lebih 635 meter.

Jentera berat dibawa naik ke gunung, merosakkan jalan dan mencemarkan Sungai Korbu, sumber air utama buat penduduk.

Jika berlakunya hujan lebat, tanah runtuh menjadi antara kebimbangan utama mereka.

Cat merah pada pokok menandakan sempadan kawasan dan ditanda untuk pembalakan di masa akan datang.

Tambahan pula, pelan pembalakan turut mencetuskan konflik dalam kalangan penduduk.

Penduduk Kampung Lawai, Mat Seri Pandak memberitahu Malaysiakini yang pemaju cuba merasuah penduduk agar mereka tidak menyuarakan bantahan.

Namun, ada penduduk yang menyerahkan wang tersebut kepada SPRM dan membuat laporan polis.

"Pampasan" sekali beri tidak akan menyelesaikan kesan jangka panjang pembalakan kepada kehidupan masyarakat Orang Asli.

Mat Seri Pandak berkata sesetengah golongan muda Orang Asli sebelum ini berhasrat untuk bekerja dalam bidang ekopelancongan, dengan membawa pelancong menikmati alam sekitar di situ.

Namun, pelan pembalakan bukan sahaja memusnahkan landskap tetapi turut merosakkan laluan hutan, menyukarkan orang luar untuk masuk ke dalamnya.

Air terjun di Jalong TInggi yang dijadikan penduduk tempatan sebagai lokasi ekopelancongan. Ia terletak di sebelah laluan balak.

Walaupun masalah itu telah diselesaikan, ia masih segar dalam ingatan Mat Seri Pandak.

"Dari situ saya nampak macam mana orang kaya dan orang bijak pandai nak api-apikan, bagi (penduduk kampung salin) gaduh,” katanya.

Hari ini, rancangan pembalakan itu telah digantung ekoran bantahan penduduk dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Dalam tempoh ini, permit untuk pembalakan terpilih tamat untuk suatu kawasan. Tetapi untuk kawasan lain, pembalakan terpilih berkemungkinan disambung semula setelah lengkap satu kitaran.

Selain itu, siasatan berhubung dakwaan rasuah itu masih belum dikemas kini oleh SPRM kepada penduduk kampung sehingga hari ini.

Dan ia menjadi kebimbangan dalam kalangan penduduk kampung.

Aliran air tersekat akibat jambatan balak yang tidak menepati garis panduan

Pensijilan balak lestari penyelesaian konflik?

Dengan nilai eksport berjumlah RM25 bilion pada 2022, balak adalah penyumbang signifikan kepada ekonomi negara.

Namun sejak 1990-an, berlakunya pergeseran berlanjutan antara masyarakat orang asal dengan industri pembalakan, terutama di Sarawak dengan hutan hujan tropika yang begitu luas.

Sudah banyak sekatan didirikan penduduk dalam usaha mereka menghalang syarikat balak - sesetengahnya mencetuskan pertembungan secara fizikal.

Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) diwujudkan sebagai respons kepada keadaan ini.

Ia diharap dapat membawa pendekatan pengurusan yang lebih mampan dalam industri pembalakan, agar ia lestari kepada alam sekitar dan melindungi hak komuniti orang asal.

Namun, sama ada ia mencapai matlamatnya atau tidak masih menjadi persoalan.


Baca: Deforestation Inc: How environmental auditing became part of problem


Bagaimana MTCS bergerak

MTCS adalah skim pensijilan bebas dan sukarela di bawah Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC). Di peringkat antarabangsa, ia diiktiraf oleh Program untuk Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC).

Produk kayu bersijil MTCS yang menerima pengiktirafan PEFC.

Ada dua peringkat pensijilan MTCS. Pensijilan Pengurusan Hutan adalah di peringkat huluan dan mengendalikan pengeluaran balak manakala pensijilan hiliran - Chain of Custody (CoC) memantau pemprosesan balak dan produknya sehingga ia dieksport.

Di Semenanjung Malaysia, pensijilan FMU dikeluarkan kepada jabatan perhutanan yang mengendalikan soal pengeluaran balak. Di Sabah dan Sarawak, ia dikeluarkan kepada syarikat perhutanan.

Jabatan Perhutanan Negeri Perak turut memegang pensijilan MTCS dan maka semua kegiatan pembalakan terpilih di negeri itu - termasuk berdekatan kampung Mat Seri Pandak - perlu mematuhi piawaian MTCS.

Perlindungan hak Orang Asli mandatori bagi pemegang sijil

Selain had untuk pembersihan hutan dan perlindungan kawasan sensitif ekologi, kriteria utama lain untuk pensijilan MTCS adalah mempertahankan hak masyarakat orang asal.

Pemegang sijil perlu membuktikan mereka menghormati hak mereka untuk memiliki, menggunakan dan menguruskan tanah di hutan, kecuali jika mereka menyerahkan kawalan kepada pihak lain secara FPIC (bebas, dalam pengetahuan dan keizinan).

Untuk itu, pemegang sijil perlu mengadakan libat urus dengan masyarakat orang asal sebelum kegiatan perhutanan boleh dilakukan, serta melakukan kajian penilaian impak untuk memastikan ia tidak menjejaskan cara hidup dan mata pencarian mereka.

Jika ada risiko aspek itu dilanggar, masyarakat orang asal perlu memberikan keizinan dan mereka akan menerima pampasan.

Produk balak yang terlibat dalam pertikaian hak tanah orang asal juga dikategorikan sebagai "sumber dipertikai" (disputed resources) di bawah piawaian Chain of Custody.

Lembaga Pemegang Amanah MTCC melawat Unit Pengurusan Ladang Hutan Samling di Segan, Sarawak untuk melihat pengurusan ladang hutan yang dikategorikan sebagai lestari.

Tahap pematuhan diperiksa menerusi audit oleh badan pensijilan yang dilantik MTCS menerusi audit berjadual dan tidak berjadual.

Piawaian MTCS dirangka oleh pasukan yang merangkumi wakil orang asal dari Semenanjung dan Malaysia TImur, serta pemegang taruh seperti Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan ia disemak semula setiap lima tahun.

Di atas kertas, ia tampak sempurna.

Lain pula ceritanya di lapangan

Namun, Orang Asli yang ditemui Malaysiakini sama ada tidak begitu tahu, tida jelas dengan proses aduan atau pun tidak percaya terhadap TMCS.

Kampung Chang Lama adalah satu lagi kampung Orang Asli di Bidor, Perak, yang masih berdepan kesan daripada kegiatan pembalakan yang dibuat berdekad lalu.

Selepas hujan lebat luar biasa pada April dan Mei tahun lalu, sungai-sungai setempat kekal keruh sehingga Februari tahun ini.

Jambatan di Kampung Chang Lama yang musnah akibat banjir teruk pada 2022.

Kampung Chang Lama hanya terletak 5km daripada pekan Bidor, namun separuh daripada rumah penduduk tiada bekalan air.

Selepas air sungai di situ tercemar ekoran pengaliran air daripada pembalakan dan sebuah ladang ternakan babi, penduduk perlu mengambil air daripada jiran atau berjalan ke sungai yang lebih jauh.

"Jadi, apa manfaat pembalakan kepada masyarakat kami?" tanya seorang penduduk, Rizuan Tempek.

Dia antara segelintir penduduk kampung yang tahu tentang MTCS.

Pada 2011, dia ke Netherlands untuk menyertai satu pendengaran parlimen. Di sana, dia mengkritik balak yang memiliki sijil MTCS sebagai "tidak lestari".

Rizuan berpandangan piawaian pensijilan seperti ini hanya nampak bagus di atas kertas, namun pelaksanaannya lemah dan tiada yang memantaunya dengan baik.

Menurutnya, proses libat urus dengan Orang Asli sangat teruk dan kalaupun ia dilakukan, menyukarkan peserta yang tidak faham bahasa Inggeris atau istilah akademik yang digunakan.

"Mereka undang Orang Asli tetapi tak ramai yang faham. Mereka terus bercakap tentang urusan mereka. Apa yang dibincangkan dalam pertemuan itu, semua orang sudah setuju.

“Walaupun kita datang bukan untuk beri persetujuan tetapi untuk mendengar. Kalau peserta biasa dan tak suarakan apa-apa, mereka seperti sudah jadi sebahagian yang beri persetujuan untuk garis panduan ini,” kata Rizuan.

Tak dirunding sepenuhnya

Mat Seri Pandak juga tahu tentang MCTS dan bahawa Sirim QAS International adalah juruaudit MTCS di Perak. Tetapi dia tidak begitu faham akan peranan juruaudit.

Dia menceritakan kunjungan pegawai ke Kampung Lawai untuk mendapatkan kebenaran bagi projek pembalakan tetapi mereka hanya berjumpa penduduk yang disifatkannya sudah bersetuju dengan syarikat balak.

Malah, katanya lagi, mereka hanya minta tandatangan daripada ketua kampung.

"Piawaian pensijilan mungkin bagus tapi biasalah, syarikat tak ikut.

“Tetapi (secara praktiknya) mereka cuma kumpul pandangan sesetengah penduduk. Sesiapa yang setuju, mereka ambil (untuk direkodkan) dan kalau tak setuju, KIV sajalah,” dakwanya lagi.

Mat Seri Pandak

Namun, Rizuan dan Mat Seri Pandak berkata mereka sendiri tidak pernah berurusan secara langsung dengan MTCS dan juruauditnya.

Ini mungkin bukan sesuatu yang mengejutkan.

Menurut garis panduan MTCS, juruaudit hanya perlu menemubual ketua kampung dan 10 peratus isi rumah dalam sesebuah unit pengurusan hutan.

Penduduk dipilih secara rawak dan berdasarkan formula yang disediakan, namun maklum balas penduduk membayangkan ia bukan selalunya begitu.

Dengan siapa aduan harus dibuat?

Struktur tidak berpusat MCTS yang kompleks juga menjadikan proses penyelesaian pertikaian tidak jelas dalam kalangan pemegang taruh.

MTCS sendiri hanya boleh mengendalikan pertikaian berkenaan piawaian, dan bukan pelaksanaan piawaian. Pertikaian seumpama itu diuruskan oleh badan pensijilan yang menjalankan audit.

Badan pensijilan diakreditasi dan dipantau oleh Jabatan Standard Malaysia di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

Sumber: MTCC

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, wakil MTCC yang enggan dinamakan menyamakan skim itu dengan wakil rakyat di Parlimen.

Salah seorang wakil memberikan analogi apabila undang-undang dilanggar, pengadu tidak membuat aduan kepada ahli parlimen atau parlimen, tetapi melaporkannya kepada polis. Dalam keadaan ini, "polis" adalah juruaudit atau badan pensijilan seperti Sirim.

Dan jika pemegang taruh merasakan proses audit tidak adil atau tidak betul, mereka boleh membuat aduan kepada Jabatan Standard Malaysia.

"Mereka masih boleh jumpa kami, tetapi peranan kami bukan sebagai 'polis' dan maka kami akan sampaikan aduan kepada juruaudit atau Jabatan Standard - bergantung kepada pihak mana aduan itu ditujukan," katanya.

Dia berkata aduan utama yang diterima MTCS adalah yang dibuat terhadap juruaudit, dan kebanyakannya daripada syarikat yang mengadu juruaudit terlalu tegas. Amat sedikit aduan diterima daripada penduduk, katanya.

'Perlu capai 100 peratus pematuhan - bukan macam SPM'

Untuk mendapat pensijilan MTCS, jabatan perhutanan negara atau syarikat akan membuat permohonan kepada juruadit iaitu Sirim, yang kemudian akan menilai amalan pengurusan hutan. Bayaran akan dikenakan.

Sirim akan mengeluarkan. MTCS tidak menerima sebarang bayaran.

Sebaliknya, skim itu yang diuruskan di bawah Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) didanai dengan geran kerajaan.

Produk kayu dengan pengiktirafan MTCS

Untuk mendapatkan dan mengekalkan sijil MTCS, permohon mesti memenuhi semua syarat ditetapkan.

"Bukan macam ambil SPM, di mana anda boleh dapat sijil jika lepas 80 peratus. Jika ada sebarang ketidakpatuhan, juruaudit akan keluarkan amaran ketidakpatuhan utama atau kecil.

"Misalnya, pembalak yang didapati menjatuhkan pokok di zon penampan riparian akan menerima amaran ketidakpatuhan utama dan tidak akan diiktiraf jika mereka tidak dapat membaikinya," katanya.

Pada masa ini, hanya Kelantan, Melaka, Perlis dan Pulau Pinang di Semenanjung dengan unit pengurusan hutan (FMU) tanpa sijil MTCS.

Pensijilan Kelantan luput pada 2016 selepas mengubah lebih lima peratus hutan utamanya untuk kegunaan lain.

Ladang hutan

Walaupun dengan syarat ketat yang ditetapkan MTCS, beberapa amalan pengurusan hutan yang sah juga boleh dilihat tidak mencapai syarat tersebut.

Misalnya, kerajaan negeri ada hak menukar hutan kepada ladang hutan.

Namun, sijil mereka boleh dibatalkan jika proses penukaran dan penyelengaraan tidak mencapai piawaian atau melanggar nilai ambang lima peratus.

Balak daripada pusingan pertama pembersihan hutan juga tidak akan disijilkan di bawah MTCS.

Sebahagian daripada Hutan Kledang Saiong diuntukkan bagi tujuan pembersihan dan dijadikan ladang balak. Ladang balak boleh mendapat pengiktirafan MTCS.

Perladangan hutan, yang memang ditentang aktivis alam sekitar, juga disijilkan oleh MTCS. Terdapat 10 ladang hutan - merangkumi keluasan lebih 143,000 hektar - yang menerima sijil tersebut.

Selain itu, walaupun jika negeri mendapat sijil itu, ini tidak bermakna semua balak yang diambil di negeri itu akan diiktiraf COC di bawah MTCS.

Jika audit mendapati ada pelanggaran, sijil akan digantung sehingga masalah itu diatasi.

Kes berprofil tinggi - Baram

Piawaian MTCS mungkin kelihatan ketat namun aduan daripada Orang Asli berkenaan pencerobohan tanah adat mereka oleh industri pembalakan terus kedengaran.

Kes berprofil paling tinggi adalah yang melibatkan masyarakat Penan di Baram, Sarawak. Mereka membuat aduan terhadap gergasi balak yang memiliki sijil MTCS, Samling atas apa yang mereka sifatkan sebagai pencerobohan terhadap tanah adat mereka.

Menafikan perkara itu, Samling mengheret mereka ke mahkamah. Proses penyelesaian pertikaian MTCS dihentikan sementara menunggu perbicaraan.

Namun kempen global oleh masyarakat Penan dan NGO yang menyokong mereka telah menjejaskan reputasi MTCS.

Awal tahun ini, wakil masyarakat Penan ke London untuk menggesa import untuk balak yang disijil MTCS dihentikan. Mereka mendakwa pensijilan yang dikatakan lestari itu hanyalah rancangan yang hanya untuk memperlihatkan ia tidak menjejaskan alam sekitar (greenwashing).

Pemimpin masyarakat Penan dan penyokong ketika protes di London

‘Ahli keluarga pun tak boleh setuju nak makan apa'

Antara halangan terbesar adalah menepati syarat FPIC (bebas, dalam pengetahuan dan keizinan) dalam kes pertikaian dalam kalangan masyarakat asal.

Walaupun garis panduan MTCC hanya memerlukan 10 peratus isi rumah ditemubual, bagi pertikaian di Baram, juruaudit telah bertemu dengan semua isi rumah.

Namun ia tidak boleh dilakukan dalam semua kes pertikaian, menurut seorang wakil MTCC kepada Malaysiakini.

Dia berkata memandangkan ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, MTCS akan terus berdepan isu yang sama.

"Orang cenderung untuk fikir syarikat adalah pihak jahat, tetapi bagaimana mereka lakukan etika (FPIC) ini?

"Apabila (juruaudit) ke kampung, mungkin ada yang tak dapat hadir (ke libat urus). Kami bukan Suruhanjaya Pilihan Raya, kami tak ke lapangan dan ambil undian.

"Malah dalam satu keluarga, setiap anak ada pandangan berbeza nak makan malam apa. Ada nak pizza, ada pilih sushi. Kami dalam keadaan ini dan saya tiada penyelesaian.

"MTCS pertahankan prinsip FPIC. Anda boleh kata kami tak buat dengan cukup, tetapi apa penyelesaiannya? Kami hanya alat (untuk capai matlamat), dan matlamat adalah pengurusan hutan lestari," kata wakil itu.

'Jangan tolak terus pensijilan hutan'

MTCC bimbang krisis perhubungan awam Baram akan menyebabkan skim itu ditolak sepenuhnya, yang menurutnya akan mendatangkan lebih banyak bahaya dalam amalan pengurusan hutan di Malaysia.

"Kami bimbang. Kami harap ia hanya salah faham. Tolong jangan tolak pensijilan ini," kata wakil MTCS.

Tanpa MTCS, katanya lagi, tidak ada pihak ketiga yang memantau pihak yang menguruskan hutan. Tanpa juruaudit, undang-undang boleh dilanggar tanpa ada yang mengetahuinya.

"Mereka ingin cemarkan nama baik kami, kata kami tidak memadai. Tetapi jika anda lihat Kelantan, ada NGO yang mahu buat aduan kepada kami atau juruaudit, tetapi kami tak boleh buat apa-apa kerana sijil di Kelantan telah luput.

"Mereka hanya bergantung sepenuhnya kepada Jabatan Perhutanan Negeri untuk menangani aduan mereka. Pensijilan memberikan platform untuk pemegang taruh benar-benar suarakan kebimbangan mereka," katanya lagi.

Sirim elak soalan

Kedua-dua projek pembalakan di Perak dan Baram diaudit oleh Sirim.

Ketika dihubungi, Sirim memilih untuk tidak memberi respons kepada soalan spesifik berkenaan projek itu, mahupun berhubung dakwaan pihaknya tidak melakukan audit secara saksama dan melakukan greenwashing.

Sirim juga tidak memberikan maklumat berkenaan jumlah aduan yang diterima dan berapa bayaran dikenakan untuk audit yang dilakukan.

Namun, dalam kenyataan kepada Malaysiakini, Pengurus Besar Kanan Pensijilan Sirim Mohd Hamim Imam Mustain menggesa pemegang taruh untuk membuat aduan kepada pengurus hutan menerusi mekanisme penyelesaian pertikaian mereka.

Dia berkata pengurus hutan perlu mewujudkan mekanisme penyelesaian pertikaian untuk mendapatkan sijil MTCS dan masyarakat patut menggunakannya untuk membangkitkan rasa tidak puas hati mereka.

Dia juga menggesa pemegang taruh untuk menghantar salinan aduan yang dibuat kepada SIRIM QAS International agar ia boleh diteliti ketika audit pengawasan.

[Baca berita penuh]